Beri isyarat tiada bintang lokal baharu, Selangor FC fokus gilap bakat sedia ada


  • Podium
  • Khamis, 24 Jul 2025

Selangor kini dihimpuni ramai pemain muda berkualiti.

WALAUPUN berdepan musim bola sepak paling kompetitif, Selangor FC tetap komited untuk membangunkan bakat-bakat muda yang dimiliki mereka.

Pengendali Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi berkata, salah satu fokusnya musim ini adalah untuk menggilap bakat-bakat muda berpotensi dalam pasukannya.

Dia turut memberi isyarat yang Selangor berkemungkinan tidak akan membawa masuk pemain tempatan baharu untuk musim depan kerana mahu fokus membangunkan pemain muda sedia ada.

BACA LAGI: Saya tak boleh jamin Fazly Mazlan ada tempat di Selangor — Kinoshi

BACA LAGI: Tidak terancam kehadiran bek muda Gergasi Merah, Fazly Mazlan waspada helah 2 penyerang Tok Gajah

Untuk rekod, musim ini Selangor hanya membawa dua pemain tempatan baharu iaitu Moses Raj serta mendapatkan semula Fazly Mazlan.

"Saya tak boleh nak kata apa-apa mengenai perpindahan ketika ini, tapi jika anda saksikan skuad saya, ada beberapa pemain sudah pun tiba.

"Tapi, kami mempunyai ramai pemain muda dan saya sedang fokuskan kepada mereka.

"Pemain-pemain seperti Izwan Yuslan, Muhammad Abu Khalil, Moses Raj serta pemain-pemain dari skuad bawah 23 tahun iaitu Harry Danish, Aiman Hakimi, saya mahu bangunkan mereka sebagai bintang masa depan skuad kebangsaan.

"Saya mahu mereka memasang impian untuk menjadi sebahagian daripada masa depan bola sepak Malaysia," kata Kinoshi kepada media pada Khamis.

Musim ini, Selangor bakal beraksi dalam lima kejohanan iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia sambil mewakili Malaysia di Piala Shopee dan Liga Juara-Juara AFC 2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram