Noor kongsi proses penyembuhan ACL, akui sukar berjauhan dengan keluarga


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Noor bersyukur ramai membantunya untuk terus cekal menjalani sesi pemulihan. — Facebook/Selangor FC

TONGGAK tengah import Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh difahamkan sudah menjalani rawatan pemulihan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kaki kirinya dengan penuh disiplin agar kembali ke padang mengikut masa yang ditetapkan.

Khidmat Noor terpaksa dilupakan selepas mengalami kecederaan ACL pada perlawanan Liga Super 2024/25 menentang PDRM FC pada 19 Oktober yang lalu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Berdasarkan makluman daripada doktor dan ahli fisioterapi pasukan, sesi pemulihan ACL mengambil masa enam ke 12 bulan, bergantung kepada individu.

BACA LAGI: Noor jadi sebutan di pentas Asia, dicanang muncul watak penting Selangor di ACL2

BACA LAGI: [VIDEO] Liga M bukan tahap 'The Engineer', Selangor sedia kehilangan Noor Rawabdeh

Namun perkembangan yang ditunjukkan oleh pemain antarabangsa Jordan itu sangat memberangsangkan mengikut protokol yang ditetapkan bagi para atlet profesional untuk sesi pemulihan kecederaan ACL.

Ia membuktikan bekas pemain Al-Faisaly SC itu bekerja keras mengikut setiap jadual yang disusunkan khas dengan penuh disiplin. Noor kini telah menjalani sesi pemulihan selama dua bulan.

Noor menjalani pelbagai latihan kekuatan untuk kedua-dua belah lututnya, termasuklah latihan keseimbangan dan koordinasi di Red Giants Medical Centre, selain mendapat rawatan khusus dan terperinci bersama doktor dan ahli fisioterapi pasukan.

Dalam masa yang sama, Noor juga komited melakukan sesi ‘hydrotherapy’ dan rawatan manual terapi sepanjang sembilan minggu yang lalu. Fasa ini juga adalah untuk memastikan atlet dapat mencapai kondisi ‘return to play’ dengan lebih cepat.

DALAM DALAM

Selangor berkongsi keadaan semasa Noor selepas menjalani pembedahan lutut pada 1 November lepas. — Facebook/Selangor FC

Selain daripada itu, Noor juga telah mendapat pendedahan lebih mendalam berkenaan nutrisi pemakanan yang diperlukan oleh atlet bagi mengiringi sesi pemulihan ACL dengan lebih sempurna.

Terkini, Noor akan memulakan latihan ‘plyometric’. Ia merupakan fasa yang sangat penting untuk meningkatkan kekuatan dan kepantasan dalam larian.

Ia turut membantu dia mendapatkan semula keyakinan untuk beraksi di padang secara berperingkat, kerana sukan bola sepak melibatkan pelbagai pergerakan yang melibatkan larian.

Menurut pemain berjersi nombor lapan Gergasi Merah itu, dirinya semakin berada di tahap terbaik dan berazam untuk terus melakukan perkembangan yang baik bagi membantu Selangor.

noor noor

Kehilangan Noor sedikit sebanyak merencatkan bahagian tengah skuad Gergasi Merah musim ini. — Facebook/Selangor FC

“Saya dapat merasakan keadaan diri saya bertambah baik, dari hari ke hari. Kekuatan otot dan kestabilan saya semakin bertambah, dan saya berharap dapat terus kembali ke tahap kecergasan penuh agar saya dapat kembali beraksi di padang mengikut masa yang telah ditetapkan.

"Saya percaya, keadaan otot saya sekarang lebih kuat berbanding sebelum ini, hasil daripada pelan pemulihan yang ditetapkan oleh Jabatan Sains Sukan Selangor FC.

"Namun, fasa seterusnya akan lebih mencabar, kerana saya akan memulakan latihan asas joging dan berlari, fasa yang amat penting bagi mendapatkan semula keyakinan untuk beraksi.

"Dengan sokongan penuh daripada doktor dan ahli fisioterapi pasukan, saya harap dapat melepasi setiap fasa dengan sempurna dan kembali berlatih bersama rakan sepasukan yang lain," katanya memetik laman sesawang Selangor FC.

ACL menjadi kecederaan jangka masa panjang buat kali pertama untuk Noor dan biar pun berjauhan daripada keluarga tercinta, dia bersyukur ramai membantunya untuk terus cekal menjalani sesi pemulihan.

"Berjauhan dengan keluarga dengan keadaan ini sedikit sebanyak sukar untuk saya, namun, saya amat bersyukur dapat sokongan yang cukup daripada kelab, rakan sepasukan dan orang sekeliling.

"Mereka membantu saya untuk kekal bermotivasi tinggi, dan saya berazam untuk kembali lebih kuat, menyumbang kejayaan kepada pasukan, dan berpeluang membantu Jordan di Kelayakan Piala Dunia nanti," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram