
PENGANJURAN Piala Raja Thai Takraw yang diadakan setiap tahun boleh diangkat sebagai antara pertandingan paling dinantikan bagi sukan itu selain Piala Asia ASTAF dan Piala Dunia ISTAF.
Ini kerana saingan tersebut akan mengumpulkan negara terbaik sekitar Asia dengan beberapa acara bakal dipertandingkan, termasuk regu dan kuadran lelaki yang sudah tentu menjadi tumpuan utama.
Bagaimanapun, bagi edisi kali ini, beberapa isu mula timbul selepas pihak penganjur gagal menyediakan fasiliti terbaik bagi setiap pasukan dengan isu kepadatan jadual turut dibangkitkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Gelagat muay thai pemain wanita Malaysia-Thailand curi tumpuan ketika asyik beri sokongan
Pertandingan yang berlangsung selama tujuh hari bermula Isnin itu menyaksikan pemain tidak dapat waktu berehat mencukupi daripada satu perlawanan ke perlawanan lain dengan perkara berkenaan dikhuatiri memberi kesan dari segi fizikal terhadap pemain.
Contohnya, dalam hari pembukaan, sebanyak sembilan perlawanan berlangsung melibatkan kuadran lelaki, wanita dan campuran negara yang sememangnya menguji kekuatan pemain.
Isu tersebut dibangkitkan pemerhati sepak takraw terkenal, Mohsen Amdan yang beranggapan pengurusan tidak cekap hanya mencalarkan imej Thailand sebagai kuasa besar sukan terbabit.
"Masalahnya ialah jadual yang terlalu padat, acara pula ada banyak dan jumlah hari penganjuran pula pendek. Malangnya, ia mencemar status Kejohanan Dunia yang sudah masuk lebih dari 30 edisinya.
"Kejohanan ini juga untuk menguji penganjuran Sukan SEA 2025 tahun ini yang berlangsung di Thailand. Reputasi Thailand tercalar teruk. Kalah pula 0-2 kepada Malaysia (dalam acara kuadran lelaki) pada Rabu," tulisnya.
Shahalril Aiman yang terbaring di samping Zulkarnain di kaki lima menceritakan kelengkapan di Piala Raja Thai cukup mengecewakan.
Tidak terhenti di situ, persoalan turut dilontarkan menerusi laman Facebook BolaRotanTV yang berada di bawah kendalian Mohsen memaparkan kawasan pemanas badan pemain yang tidak efisien.
Dalam sebuah video dikongsikan, kelihatan lokasi disediakan pihak penganjur tidak mematuhi saiz gelanggang sebenar yang sememangnya mengganggu persiapan pasukan.
Standard tersebut sememangnya cukup mengecewakan kerana ketika Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia ISTAF dan Piala Asia ASTAF, kelengkapan serba mencukupi diberikan.
Malah, dalam hantaran berbeza, kelihatan apit kanan negara, Shahalril Aiman Halim terbaring di kaki lima dipercayai sedang mengalami kecederaan di samping jurulatihnya, Zulkarnain Arif.
Foto tersebut menceritakan pihak penganjur gagal menyediakan kelengkapan perubatan terbaik sekiranya pemain mengalami kecederaan ketika aksi berlangsung.
Setakat ini, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu fasiliti dan kepadatan jadual dalam Piala Raja Thai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram