
PERLAWANAN seri 0-0 antara Malaysia dan Indonesia dicemari insiden memalukan apabila sekumpulan penyokong Indonesia dikesan mengibarkan Jalur Gemilang yang dipangkah, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong tanah air.
Tindakan yang berlaku pada aksi peringkat kumpulan Piala Asean Bawah 23 tahun (B-23) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia itu bukan sahaja mencemarkan semangat kesukanan malah secara jelas melanggar Artikel 16(2)(d) Kod Tatatertib FIFA.
Tampil menyuarakan pandangan, pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar mengambil langkah tegas dan diplomatik demi menjaga hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
BACA LAGI: Tipu umur? Media Indonesia tertanya-tanya usia bintang Harimau Muda, JDT
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ini semua tentang harga diri', La Grande Garuda optimis rampas 3 mata Harimau Muda
Menurut Pekan, insiden seperti itu harus dilihat secara objektif dan profesional, memandangkan kawalan keselamatan serta pengawasan di stadium adalah tanggungjawab negara penganjur.
"Gelagat penyokong, ada yang kita boleh kawal, ada yang kita tak boleh kawal. Tetapi di peringkat ini, memang kita tidak boleh kawal sebab dia berlaku di stadium di Indonesia. Jadi kawalan itu sepatutnya berlaku di pihak Indonesia sendiri.
"Mungkin juga PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) tak dapat nak mengawal sebab bendera itu mungkin dibuka ataupun dipasang ketika berada dalam stadium. Jadi ini satu keadaan yang susah juga kita nak katakan," jelasnya kepada Majoriti.
Pekan turut menegaskan bahawa FAM wajar menyatakan rasa kesal kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) melalui saluran rasmi, sebagai langkah diplomatik dan peringatan agar perkara sama tidak berulang.
"Kita pun tak boleh salahkan PSSI 100 peratus. Dalam stadium kita pun pernah berlaku macam-macam perkara, termasuk bendera penjara Malaysia dipasang terbalik. Jadi kita pun ada kekurangan dari segi kawalan.
"Benda-benda macam ni kita boleh suarakan secara rasmi. Kita tak boleh jangka balasan, tapi kita harap PSSI lebih memantau terutama bila melibatkan perlawanan Malaysia-Indonesia," ujarnya.
Beliau menekankan pentingnya isu itu dijadikan pengajaran kepada kedua-dua negara, khususnya apabila perlawanan bola sepak seringkali membangkitkan emosi dan semangat patriotik yang tinggi.
"Apabila melibatkan perlawanan Malaysia-Indonesia, provokasi macam-macam boleh berlaku. Jadi kita perlu bersyukur setakat ini hanya bendera terbalik dan bukan provokasi yang melampau.
"Jadi perlu bersyukurlah setakat mengangkat bendera. Memang perlulah kita berikan teguran dan sebagai peringatan supaya mereka mengawasi perkara tersebut supaya tidak berulang lagi lah.
"Bila melibatkan Malaysia dengan Indonesia dan dibuat di Malaysia pada masa akan datang, perlu berhati-hatilah dengan perkara sebegini. Kita pun tidak mahu perkara yang sama berlaku bila kita menjadi tuan rumah juga nanti," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram