
"GENAP sebulan sejak janji kita. Walau maut sekalipun tak mampu memisahkan kita."
Itulah luahan Rute Cardoso, isteri kepada pemain Liverpool, Diogo Jota yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya tragis bersama adiknya, Andre Silva pada awal Julai lepas.
Luahan itu dimuat naik di laman Instagram bersempena tepat sebulan perkahwinan mereka berlangsung.
BACA LAGI: Balu Diogo Jota warisi harta cecah RM200 juta
Dalam hantaran yang menyentuh hati itu, Rute berkongsi beberapa gambar kenangan hari bahagia termasuk momen mereka berdansa dan berpegangan tangan.
Namun, semuanya kini hanya tinggal memori, apabila impian membina masa depan bersama berakhir dalam sekelip mata.
Sebelum ini, dunia bola sepak dikejutkan dengan berita tragis pemergian Jota dan Andre Silva, selepas tayar Lamborghini milik bintang The Reds itu pecah, lalu menyebabkan kereta terbabas dan akhirnya dijilat api.
Untuk rekod, Jota dan Rute sudah menjalinkan hubungan sejak zaman persekolahan.
Mereka membesarkan dua orang anak bersama termasuk anak bongsu yang baru dilahirkan pada November 2024.
Walaupun sudah lama bersama, mereka memilih untuk tidak tergesa-gesa berkahwin, sebaliknya menanti masa yang tepat sebelum akhirnya sah bergelar suami isteri pada 22 Jun lalu.
Namun, perkahwinan yang dibina atas cinta dan kesabaran itu hanya sempat bertahan 10 hari.
Dalam hantaran terakhir Jota di Instagram, pemain Liverpool tersebut sempat memuat naik gambar mesra bersama Rute dan anak-anak mereka.
Wajahnya kelihatan ceria dengan kapsyen ringkas, “Hari yang tidak akan kami lupakan.”
Tiada siapa menyangka, itulah catatan terakhirnya sebelum meninggal dunia.
Jota merupakan antara tonggak utama Liverpool dengan 65 gol dalam 182 penampilan dan membantu kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris musim 2024/25.
Beliau juga mewakili Portugal dalam 49 perlawanan antarabangsa dengan rekod 14 gol, selain membantu negaranya menjuarai dua edisi Liga Negara-Negara UEFA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram