Mulakan karier seawal usia 7 tahun, bintang Selangor ikut jejak Intan Serah ke New York


  • Podium
  • Jumaat, 06 Jun 2025

Pemain tengah Selangor FC Women sah menyertai New York Dutch Lions FC dalam saingan Women Premier Soccer League di Amerika Syarikat. — Facebook/NYDLFC

TONGGAK tengah Selangor FC Women, Nur Marissa Aleya membuktikan bahawa semangat dan dedikasi mampu membuka peluang di pentas antarabangsa.

Memulakan kariernya seawal usia tujuh tahun, dia pernah menyertai Red Dragon Malaysia (Boys) pada 2016, sebelum beralih ke Titans United Football Academy (Bays), FCKL (Girls), SSS Leopard dan akhirnya Selangor FC.

Pada 2024, Marissa turut beraksi bersama FC Spicegals dalam FAS Women's Super League (WSL).

BACA LAGI: Media Sepanyol beri ‘hint’ Jordi Amat kekal bersama JDT, lain pula ceritanya dengan striker Samba

BACA LAGI: 'Santai' sepanjang jendela perpindahan, 3 kelab termasuk Sabah FC-Kuching City tak terburu-buru bikin rombakan

 

 

Selain kejayaan di peringkat kelab, pemain tengah itu turut menyumbang kepada kejayaan pasukan negeri Selangor dalam temasya SUKMA 2024, yang mana mereka muncul juara dalam acara bola sepak wanita.

Pencapaian itu menambah koleksi trofinya yang turut merangkumi kejuaraan Malaysian Little League bersama Selangor FC.

Kini, Marissa Aleya berpeluang mengembangkan bakatnya di peringkat antarabangsa dengan menyertai New York Dutch Lions FC (NYDLFC) dalam saingan Women Premier Soccer League (WPSL) di Amerika Syarikat.

Menariknya, kelab yang disertai oleh Marissa Aleya kini merupakan bekas pasukan yang pernah disertai oleh penyerang Malayan Tigress, Intan Serah Anisah Zulgafli bagi musim 2023.

Kerjasama antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan New York Dutch Lions FC bertujuan untuk memperkasa ekosistem bola sepak wanita di negeri Selangor dan memberikan peluang kepada pemain muda berbakat untuk meneroka pengalaman di luar negara.

Dengan semangat dan dedikasi yang tinggi, perjalanan Marissa Aleya pastinya menjadi inspirasi kepada generasi muda, membuktikan bahawa dengan usaha dan ketabahan, impian untuk beraksi di pentas antarabangsa bukanlah sesuatu yang mustahil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram