
SAINGAN Piala Raja Thai yang sudah bermula sejak Selasa menyajikan peminat sukan sepak takraw dengan aksi epik ketika pasukan negara berdepan lawan serantau Asia.
Pada hari pembukaan, sebanyak sembilan perlawanan berlangsung melibatkan skuad kuadran lelaki, wanita dan campuran dengan beberapa keputusan cukup membanggakan berjaya dilakar.
Ini termasuk kemenangan kuadran lelaki ke atas tuan rumah, Thailand menerusi keputusan 2-0 serta kejayaan kuadran campuran menumpaskan Vietnam 2-1 pada aksi pembukaan.
BACA LAGI: Tiada masalah tundukkan Jepun, Malaysia muncul Raja Kuadran Asia
Permusuhan Malaysia dan Thailand dalam gelanggang sepak takraw sememangnya diketahui.
Meskipun terdapat kekalahan disaksikan kem negara, prestasi pasukan kebangsaan boleh dianggap memuaskan kerana masing-masing masih memiliki peluang untuk ke peringkat seterusnya.
Bagaimanapun, keterujaan bukan sahaja dapat disaksikan di dalam gelanggang kerana perasaan sama turut dirasakan dalam kalangan penyokong yang hadir ke Thailand untuk memberi dorongan.
Malah, kemeriahan turut ditonjolkan dalam kalangan pemain yang berada di tepi gelanggang apabila pemain wanita, Aziera Lusian gagal menyembunyikan perasaan tatkala rakan sepasukan berjuang.
Dalam sebuah video dimuat naik di laman WeAreSepakTakraw pada Rabu, dia bersama seorang lagi tonggak negara, Razman Anam sedang menonton aksi yang sedang berlangsung sambil memberikan sorakan gemuruh.
Namun, apa yang menariknya adalah apabila mereka berada di samping pemain Thailand yang juga teruja menyaksikan perlawanan difahamkan melibatkan skuad kuadran kedua-dua negara tersebut.
Apa yang menarik daripada rakaman tersebut adalah meskipun Thailand dan Malaysia merupakan seteru utama dalam sukan sepak takraw, mereka menepikan permusuhan itu, malah sempat bergurau antara satu sama lain.
Ini selepas tonggak negara jiran, Manlika Bunthod dan Wiphada Chitphuan bertindak mengusik Aziera yang ketika itu seperti sedang meraikan mata diperoleh skuad kebangsaan.
Wiphada kelihatan melakukan aksi muay thai terhadap Aziera yang dipegang Manlika dengan rakaman tersebut menerima reaksi cukup baik daripada peminat kedua-dua negara.
Meskipun pemain-pemain tersebut sempat bergurau di luar gelanggang, masing-masing berjaya menampilkan persembahan terbaik ketika aksi kuadran wanita yang berkesudahan dengan kemenangan 2-0 kepada Thailand menerusi keputusan 15-10, 15-5 pada Rabu.
Beberapa aksi lain akan menanti pasukan kuadran wanita negara yang akan bertemu Jepun, Korea Selatan dan Laos pada Khamis dengan kemenangan perlu dicatatkan sekiranya mahu melangkah ke pusingan seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram