
KUCHING City FC menunjukkan kualiti mereka tersendiri apabila berhasil meraih keputusan seri 2-2 ketika menentang naib juara Liga 1 Indonesia, Dewa United dalam perlawanan pramusim di Indonesia.
Selepas tewas tipis dalam aksi persahabatan terbaharu menentang Persita Tangerang, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak terus mencari 'rempah' tersendiri untuk meraih kemenangan dalam jelajah pramusim mereka.
Uji kaji yang dibuat oleh pengendali kelahiran Singapura berkenaan nampaknya membuahkan hasil apabila Aidil Sharin menurunkan Ronald Ngah Wanja sebagai penyerang mereka menentang anak-anak buah Jan Olde Riederink.
BACA LAGI: Bukan saja kelebihan fizikal, 3 momen bersama Kedah bukti Ngah Wanja berharga buat The Cats
BACA LAGI: Pak Ngah sah milik Kuching City, tak mustahil bantu kelab atasi Selangor, Sabah ke Asia
Pasukan Borneo tanah air berkenaan mendapatkan dua gol, hasil sumbangan Ronald Ngah dan satu lagi disumbangkan oleh penyerang sayap skuad kebangsaan Timor Leste iaitu Joao Pedro.
Walaupun hanya sepakan penalti, gol dihasilkan bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC berkenaan setidaknya dapat menutup mulut sebahagian penyokong The Cats yang pada awalnya meragui kehadiran Ronald Ngah.
Pemain berusia 33 tahun berkenaan sememangnya berpengalaman dalam Liga Super apabila pernah beraksi buat Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2022 yang ketika itu turut bersaing dalam Piala AFC.
Untuk info, Ronald Ngah yang turut dikenali sebagai Pak Ngah itu merekodkan 15 gol pada kempen 2022 sebelum dia memilih untuk meninggalkan kelab tersebut pada penghujung saingan.
Penyerang bertubuh sasa itu bukan sekadar pelengkap import untuk skuad The Cats, Aidil Sharin akan memanfaatkan kelebihan Ronald Ngah dari segi fizikal untuk mencipta peluang buat rakan sepasukan.
Kualiti Ronald Ngah akan diterus dipantau dalam aksi pramusim dengan The Cats masih ada baki beberapa perlawanan termasuk satu lagi aksi menentang Persita. Perlawanan itu bakal berlangsung di hadapan penyokong pada 27 Julai ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram