
MESKIPUN sudah membawa masuk lambakan penyerang baharu pada jendela perpindahan kali ini, Kuching City FC masih tekad membawa masuk peledak kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja.
Penyerang tersebut tidak lagi asing dalam saingan bola sepak tempatan selepas pernah menghabiskan tempoh semusim di Utara tanah air bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan penyokong memberikannya julukan 'Pak Ngah'.
Tidak cukup dengan itu, dia pasti tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana keputusan menyertai kelab Borneo tanah air itu menyaksikannya kembali bergandingan dengan Aidil Sharin Sahak.
BACA LAGI: Pak Ngah sah milik Kuching City, tak mustahil bantu kelab atasi Selangor, Sabah ke Asia
BACA LAGI: The Cats tak main-main, rekrut 3 import termasuk Pak Ngah-Joao Pedro
Ronald Ngah sudah terlibat dalam sesi pramusim bersama skuad The Cats ketika ini. — Facebook/Kuching City FC
Kerjasama pernah dicipta antara kedua-dua pihak itu sudah tentu menjadi antara kunci utama di sebalik perpindahan tersebut meskipun skuad The Cats memiliki pilihan lain di posisi serangan.
Ini kerana jurulatih dari Singapura itu akan memanfaatkan kelebihan Ronald Ngah dari segi fizikal untuk mencipta peluang buat rakan sepasukan dengan memaksa Jordan Mintah mahupun Gabriel Nistelrooy berada di posisi sayap serangan.
Bagaimanapun, fizikal penyerang tersebut yang memudahkannya mengatasi pihak lawan bukan sahaja perkara utama dinilai kerana terdapat tiga momen dalam jersi KDA FC menceritakan kualiti dimiliki penyerang sasa itu.
1. Gol berdepan JDT
Dalam saingan Liga Super 2022, Ronald Ngah mencatatkan 13 gol dan dua bantuan jaringan daripada 21 penampilan yang menyaksikannya muncul sebagai penjaring terbanyak KDA FC.
Daripada kesemua jaringan tersebut, gol diledak ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) sememangnya tidak dapat dilupakan kerana ia terhasil di Stadium Darul Aman, Kedah.
Pertembungan tersebut sememangnya hangat kerana skuad Sang Kenari mahu meranapkan impian pasukan pelawat daripada menamatkan musim tanpa sebarang kekalahan dengan 19 perlawanan sudah ditempuhi.
Jaringan Ronald Ngah di Stadium Darul Aman hampir meleburkan rekod tanpa kalah milik JDT. — Facebook/KDA FC
Jadi, tidak hairanlah apabila gol Ronald Ngah pada minit ke-11 permainan menyaksikan ribuan penonton di venue itu melompat keriangan meskipun aksi baru sahaja berlangsung.
Kegembiraan itu bagaimanapun tidak berpanjangan kerana kira-kira 20 minit kemudian, JDT mengikat kedudukan menerusi Bergson da Silva sebelum menamatkan perlawanan menerusi keputusan 3-1.
Meskipun gagal meraih sebarang mata, jaringan Ronald Ngah itu masih diingati kerana seseorang pemain perlu memiliki kualiti cukup baik untuk menembusi gawang Harimau Selatan.
2. Hatrik menentang PJ City FC
Selain mencatatkan jaringan semasa berdepan JDT, persembahan memukau pemain tersebut dalam Liga Super turut disaksikan ketika KDA FC bertemu Petaling Jaya (PJ) City FC di tempat lawan.
Meskipun skuad The Phoenix tidaklah begitu digeruni, hatrik dicatatkan Ronald Ngah dalam pertembungan terbabit memastikan pasukannya tidak pulang dengan tangan kosong.
Dalam aksi di Stadium MBPJ, Selangor itu, penyerang tersebut menampilkan deria cukup tajam di hadapan gawang gol lawan apabila dia pantas menyudahkan peluang keemasan.
Satu-satunya hatrik dicatatkan Ronald Ngah bersama skuad Sang Kenari hadir di Stadium MBPJ. — Facebook/KDA FC
Tidak cukup dengan itu, bagi melengkapkan hatrik berkenaan, bekas bintang KDA FC itu menampilkan gerakan solo dari tengah padang dengan memecut meninggalkan barisan pertahanan PJ City FC sebelum menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.
Bagaimanapun, sumbangan dicurahkannya masih belum mencukupi untuk membantu skuad Sang Kenari untuk membawa pulang tiga mata penuh selepas kealpaan barisan pertahanan menyaksikan perlawanan berakhir 3-3.
3. Persembahan memukau di pentas Asia
Di samping beraksi dalam Liga Super 2022, KDA FC turut berentap di Piala AFC pada tahun tersebut dengan keputusan mendapatkan Ronald Ngah adalah bagi membantu pasukan dalam saingan berkenaan.
Meskipun memulakan kempen dengan langkah kiri selepas tewas kepada Bali United, skuad Sang Kenari bangkit bagi dua perlawanan berbaki dalam peringkat kumpulan.
Sumbangan Ronald Ngah menyaksikan skuad Sang Kenari melangkah ke pusingan kalah mati Piala AFC 2022. — Facebook/KDA FC
Seperti diramal, Ronald Ngah menjadi punca kebangkitan pasukan apabila menyerlah ketika berdepan Kaya Iloilo dari Filipina serta kelab Kemboja, Visakha FC.
Dua gol dan tiga bantuan jaringan dalam kedua-dua aksi tersebut memastikan skuad Sang Kenari melangkah ke pusingan kalah mati sebelum dikecewakan PSM Makassar.
Pengalaman di pentas Asia sememangnya diharapkan mampu dicurahkan dalam Kuching City FC musim depan kerana kelab Borneo tanah air itu mahu melangkah ke saingan tersebut buat kali pertama dalam sejarah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram