
KUCHING City FC terus menunjukkan kesungguhan tinggi menjelang musim 2025/26 apabila menambah seorang lagi penyerang berprofil tinggi, Ronald Ngah Wanja untuk memperkukuh jentera serangan skuad The Cats.
Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC itu menjadi pemain keempat berposisi serangan yang dibawa masuk, selepas kehadiran Ramadhan Saifullah, Gabriel Nisterooly dan Danial Asri diumumkan sebelum ini.
Ronald Ngah, 33, bukan nama asing dalam arena bola sepak tempatan selepas mencuri tumpuan ketika bersama Kedah pada musim 2022 dengan rekod 15 jaringan sepanjang kempen.
BACA LAGI: Dion Cools tak panik, terima keputusan FAM tarik diri Piala CAFA
Pak Ngah (kiri) sah menyarung jersi The Cats bagi musim 2025/2026. — Facebook/Kuchingcityfc
Ketajamannya di hadapan gawang menjadikan beliau antara penyerang import yang mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air, selain digelar mesra sebagai 'Pak Ngah'.
Walaupun cemerlang di Utara, beliau mengambil keputusan meninggalkan KDA FC sejurus tamat musim dan seterusnya mencuba nasib di beberapa kelab Timur Tengah.
Kini, Pak Ngah kembali ke Malaysia dan bersedia menggegar Liga Super bersama Kuching City FC.
Kehadirannya dijangka memberi impak besar kepada skuad kendalian jurulatih berpengalaman itu dalam usaha memperbaiki kedudukan liga dan mencabar pasukan-pasukan elit.
Jika Pak Ngah berjaya menampilkan prestasi konsisten, tidak mustahil beliau bakal mengikut jejak langkah tiga bekas penyerang import berdarah Afrika yang pernah mencipta nama bersama kelab dari Borneo sebelum ini.
1. Jordan Mintah
Bekas penyerang berbisa Terengganu FC, Jordan Mintah kembali mengganas bersama Kuching City FC sejak menyertai kelab itu pada musim 2024. Mintah, 30, sememangnya bukan asing dalam kancah bola sepak tempatan selepas menghabiskan lima musim di Liga Malaysia (Liga M) termasuk bersama TFC II sejak 2020.
Perpindahan ke The Cats menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula Mintah sebagai penyerang utama, apabila beliau merekodkan 15 gol dan dua bantuan jaringan dalam 28 penampilan sepanjang musim lalu.
Jordan Mintah perlu bersaing dengan penyerang lain untuk mengetuai jentera serangan pasukan. — Facebook/Kuchingcityfc
Antara pencapaian paling mencuri tumpuan ialah hatrik yang dijaringkannya ketika menentang Kelantan Darul Naim FC pada 26 Februari 2025 menjadikan beliau satu-satunya penjaring dalam kemenangan penuh bergaya itu.
Kepakaran Mintah dalam mencari ruang dan ketajaman di depan gawang menjadikannya aset penting buat pasukan dari Borneo itu menjelang musim baharu.
2. Petrus Shitembi
Sejak kembali menyertai kancah Liga M pada musim 2023, pemain tengah dari Ghana, Petrus Shitembi telah menjadi tunjang utama kreativiti di bahagian serangan Kuching City FC.
Bekas pemain Terengganu FC itu menandatangani kontrak dua musim bersama The Cats dan tidak menunggu lama untuk mencuri perhatian.
Malah, lama sebelum mewakili Kuching City FC, Shitembi sudah terlebih dahulu memperkenalkan diri dalam landskap bola sepak Borneo semasa bersama Sabah FC pada 2020 yang ketika itu masih belum cukup digeruni.
Ketajaman serta pengalaman Shitembi di peringkat antarabangsa kekal menjadi aset berharga buat The Cats dalam usaha mereka menyaingi pasukan-pasukan gergasi liga. — Facebook/TFC
Dengan ketinggian 1.64 meter, Shitembi membuktikan saiz bukan penghalang untuk memberi impak besar, apabila mencatat empat gol dan tiga bantuan jaringan sepanjang musim 2024.
Selain itu, pengalaman luas dan kepimpinannya turut diiktiraf apabila beliau diberi tanggungjawab menyarung lilitan kapten sebanyak tiga kali dalam kempen Liga Malaysia lalu oleh ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.
Pada usia 33 tahun, ketajaman serta pengalamannya di peringkat antarabangsa kekal menjadi aset berharga buat The Cats dalam usaha mereka menyaingi pasukan-pasukan gergasi liga.
3. Abu Kamara
Perjalanan penyerang Liberia, Abu Kamara bersama Kuching City FC secara rasmi melabuhkan tirai selepas dua musim yang penuh kenangan bersama skuad The Cats.
Kamara, 29, yang menyertai kelab berpangkalan di Borneo itu pada musim 2023, meninggalkan impak besar kepada pasukan dan peminat tempatan, terutama selepas membantu The Cats muncul naib juara Piala Cabaran serta mengekalkan reputasinya sebagai penyerang prolifik.
Pemenang Kasut Emas Liga Perdana 2022 itu tampil konsisten sepanjang musim lalu apabila merekodkan 13 jaringan dan satu bantuan gol dalam kempen Liga Malaysia 2023, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai salah satu penjaring utama kelab.
Abu Kamara meninggalkan kenangan yang cukup indah ketika menyarung jersi The Cats. — Facebook/TFC
Dengan ketinggian 1.82 meter dan ketajaman di hadapan gawang, Kamara menjadi tonggak penting dalam jentera serangan Kuching City dan sering menjadi tumpuan penyokong yang menyaksikan keupayaannya menjaringkan gol dari pelbagai situasi.
Walaupun perjalanannya bersama The Cats kini berakhir, nama Kamara kekal terpahat dalam ingatan penyokong sebagai antara penyerang import terbaik pernah menyarung jersi kelab tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram