
BEKAS bintang Buriram United FC, Dion Cools yang kini beraksi bersama kelab Liga J1 Jepun, Cerezo Osaka mengakui cabaran bahasa bukan penghalang utama dalam pengalamannya di negara Matahari Terbit itu, malah ia menjadi motivasi untuk lebih menyesuaikan diri dan belajar budaya baru.
Ketika ditanya mengenai isu bahasa memandangkan kebanyakan pemain Jepun bertutur dalam bahasa Jepun, sementara beliau berbahasa Inggeris, Cools menjelaskan bahawa suasana di kelab amat membantu proses adaptasinya.
"Pertama sekali, staf kelab boleh berbahasa Inggeris, jadi ia bukan masalah besar. Dengan para pemain pula, walaupun bahasa berbeza, terdapat rasa hormat yang tinggi antara satu sama lain. Kami boleh berkomunikasi dengan baik,” katanya.
BACA LAGI: Dion Cools tak panik, terima keputusan FAM tarik diri Piala CAFA
Jersi edisi terhad yang menggabungkan budaya, identiti dan prestasi sebagai penghormatan kepada perjalanan luar biasa Dion Cools dalam dunia bola sepak.
Cools berkata sedemikian ketika ditemui media dalam majlis pelancaran jersi edisi terhad Dion Cools dengan kerjasama Adidas yang berlangsung di Adidas Brand Centre, Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor pada Selasa.
Di samping itu, Cools juga menjelaskan bahawa ramai di Jepun memahami asas bahasa Inggeris dan kelebihan itu membantu beliau menyesuaikan diri lebih mudah.
Namun, dia tidak bergantung sepenuhnya kepada kelebihan itu, malah turut berusaha belajar asas bahasa Jepun.
"Saya cuba pelajari perkara asas seperti ucap hello, terima kasih, dan selamat tinggal. Saya masih belum fasih, tetapi saya sedang berlatih dan berharap satu hari nanti saya boleh berbual dengan lebih baik," ujarnya.
Dalam masa yang sama, pemain kelahiran Kuching itu turut berkongsi pengalamannya dalam perlawanan pertamanya bersama Cerezo Osaka yang juga merupakan derbi menentang pasukan Gamba Osaka.
"Ya, ia berlaku beberapa minggu lepas (5 Julai). Sayangnya kami tidak menang apabila tewas 0-1, tetapi secara peribadi, ia adalah pengalaman yang menyeronokkan untuk bermain dalam perlawanan besar seperti itu, lebih-lebih lagi sebagai pemain Malaysia pertama yang merasainya," ujarnya.
Walaupun masih baru dalam saingan bola sepak Jepun, Cools jelas menunjukkan kesungguhan bukan sahaja di atas padang, tetapi juga dalam menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, satu aspek penting dalam membina kerjaya di peringkat antarabangsa.
Pemain berusia 29 tahun itu terus menjadi kebanggaan Malaysia, bukan sekadar kerana pencapaiannya di luar negara, tetapi juga kerana pendekatan profesional dan rendah dirinya dalam mengharumkan nama negara.
Terdahulu, Adidas Malaysia dengan kerjasama pemain pertahanan Harimau Malaya, Cools telah melancarkan jersi edisi terhad yang menggabungkan budaya, identiti dan prestasi sebagai penghormatan kepada perjalanan luar biasa bek tersebut dalam dunia bola sepak.
Jersi tersebut diinspirasikan daripada asal usul Cools yang dilahirkan di Kuching, Sarawak dan dibesarkan di Belgium sekali gus menggambarkan kebanggaan beliau mewakili Malaysia, walaupun layak bermain untuk negara lain.
Direka khas bersama Cools yang kini beraksi di kelab Jepun, Cerezo Osaka, jersi berkenaan menampilkan corak warisan budaya dan elemen moden yang menggambarkan semangat juang, kepimpinan dan keaslian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram