[VIDEO] Rupanya pernah beraksi di samping striker flop TFC, benteng Sang Penyu diperkuatkan bek kental Brazil


  • Podium
  • Selasa, 22 Jul 2025

Kehadiran Diego Landis beri nafas baharu buat barisan pertahanan tengah TFC musim depan. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) secara rasmi mengumumkan kehadiran pemain import baharu, Diego Landis yang telah menandatangani kontrak bersama skuad Penyu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.

Pemain kelahiran Brazil tersebut akan memperkuatkan barisan pertahanan pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih Badrul Afzan Razali.

Landis, 28, merupakan seorang pertahanan tengah yang memiliki pengalaman luas di peringkat kelab Asia, termasuk pernah beraksi bersama kelab dalam Liga Thailand, lapor TFC

BACA LAGI: Jadikan ibu sumber kekuatan, bintang JDT tekad bantu Harimau Muda dalam Kelayakan Piala Asia B-23 2025

BACA LAGI: Bekas pemain ragbi Sabah dipenjara 12 tahun sebabkan kematian adik hanya kerana ditegur merokok dalam rumah

Berdasarkan statistik dikeluarkan di laman sesawang Transfermarkt, bek kelahiran Brazil itu sudah merekodkan 117 penampilan sepanjang kariernya di peringkat kelab dengan lambakan pemain berkualiti pernah beraksi di sampingnya.

Namun, apa yang menarik adalah apabila Landis rupanya pernah bersama-sama bekas bintang Sang Penyu, Nelson Bonilla ketika kedua-dua mereka beraksi di kelab Thailand iaitu Sukhothai FC dan Port FC.

Tambah TFC, sebelum menyertai skuad Peteh, Landis pernah beraksi bersama Khon Kean United FC di Thailand dan dikenali dengan gaya permainan yang tenang, disiplin serta kekuatan dalam pertarungan udara dan laju dalam membuat larian semasa bertahan.

Pemain yang memiliki ketinggian 1.95 meter itu tiba di Malaysia beberapa hari lalu dan telah lulus pemeriksaan kesihatan serta ujian kecergasan di Kuala Lumpur.

Dalam temubual bersama media kelab, Landis menyatakan dia tidak menunggu lama dan tidak berfikir dua kali apabila menerima surat tawaran dari Terengganu FC kerana beliau tahu kelab ini antara kelab besar di Malaysia.

Dia juga sedar bahawa Sang Penyu mempunyai penyokong yang sangat fanatik dan ini membuatkannya tidak sabar untuk bermain di hadapan mereka.

Dengan kehadiran Diego Landis, Terengganu FC kini memiliki lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan tengah, terutama selepas perpindahan beberapa pemain utama pada penghujung musim lalu.

Kehadirannya dijangka mampu memberikan kestabilan dan ketenangan di barisan belakang, sekali gus memperbaiki rekod pertahanan TFC yang menjadi tumpuan musim lepas.

Landis akan memulakan sesi latihan kecergasan bermula minggu ini dan penyokong dijangka dapat melihat Landis beraksi buat kali pertama dalam beberapa siri perlawanan persahabatan yang akan diadakan menjelang musim baharu bermula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram