Bukan hal asing, Selangor pernah saksikan bintang DNA Liga Australia sukses sarung jersi Merah Kuning


  • Podium
  • Rabu, 23 Jul 2025

Dari kiri: Brendan Gan, Cornthwaite dan Safuwan pernah beraksi di Australia sebelum menyarung jersi Selangor.

KHABAR angin semakin kuat bertiup mengatakan pemain kelahiran England, Zach Clough akan mewarnai Liga Super musim depan dengan Selangor FC dikatakan menjadi destinasinya.

Pemain yang menghabiskan majoriti daripada kariernya di liga bawahan England bersama kelab seperti Nottingham Forest dan Bolton Wanderers sudah tentu dapat memberi impak besar buat skuad Gergasi Merah.

Ini kerana penyerang sayap berusia 30 tahun itu memiliki asas bola sepak cukup baik meskipun belum pernah membuktikan diri dalam mana-mana saingan sekitar Asia.

BACA LAGI: Masih belum rasmi, perpindahan winger kelahiran Manchester ke Selangor sudahpun bocor

BACA LAGI: Bekas bintang EPL tak direstui fans Gergasi Merah, siap tunjuk bukti lebih hebat dari kelab Australia

Zach Clough hampir dirasmikan sebagai import terbaru buat skuad Gergasi Merah. Agensi

Namun, tempoh dihabiskan selama tiga musim di Australia bersama Adelaide United dilihat sudah cukup untuk pihak pengurusan Selangor FC mendapatkan khidmatnya bagi kempen akan datang.

Rekodnya bersama pasukan itu adalah amat baik dengan 22 gol dan 24 bantuan jaringan direkodkan dalam 93 penampilan yang menjadikannya antara import terbaik dalam Liga Australia.

Malah, sekiranya diselusuri sejarah skuad Gergasi Merah, mereka berjaya meraih hasil terbaik daripada tiga pemain yang pernah beraksi dalam kejohanan di negara Ocenia berkenaan.

1. Brendan Gan

Nama pertama yang sudah tentu terlintas dalam fikiran penyokong Selangor FC apabila berkata mengenai Australia sudah tentu mengenai bekas kapten pasukan, Brendan Gan.

Dia yang merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia mencurahkan sumbangan besar buat skuad Gergasi Merah sepanjang empat musim, baik dari segi persembahan mahupun mutu kepimpinannya.

Meskipun memilih untuk menyertai seteru Lembah Klang, Kuala Lumpur (KL) City FC selepas meninggalkan Selangor FC, nama pemain tengah itu masih mekar dalam ingatan penyokong.

Brendan Gan memulakan kariernya di Australia sebelum menceburkan diri dalam arena bola sepak tempatan. Agensi

Tetapi, apa yang mungkin ramai tidak tahu adalah sebelum tiba di tanah air, Brendan Gan terlebih dahulu memulakan karier di Australia dengan beberapa kelab pernah diwakilinya.

Malah, Brendan Gan juga pernah menjulang dua trofi di negara berkenaan bersama Sydney FC pada musim 2009/10 ketika pemain tersebut masih berada di usia muda.

Dia yang kini sudah berusia 37 tahun juga seperti akan menamatkan karier di negara tersebut selepas memilih untuk menyertai Sutherland Sharks yang pernah diwakilinya sebelum ini bagi kempen musim 2025/26.

2. Safuwan Baharudin

Seorang lagi bekas kapten skuad Gergasi Merah iaitu Safuwan Baharudin juga memiliki hubungan kuat dengan Australia selepas pernah beraksi di liga berkenaan.

Perpindahan itu dilakukan pada 2015 apabila dia menyertai Melbourne City FC secara pinjaman dari Lions XII dengan kontrak tiga bulan selepas menyertai sesi percubaan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum itu.

Meskipun beraksi di bek tengah, Safuwan yang memiliki keupayaan merebut bola di udara sempat meledak di negara tersebut sebanyak dua kali daripada enam penampilan.

Kecederaan tulang belakang dialami menyaksikan Melbourne City FC memilih untuk tidak melanjutkan tempoh pinjamannya, sekali gus memaksa pemain tersebut kembali ke Singapura.

Safuwan meraih pengalaman di Australia selepas disambar Melbourne City FC dengan kontrak pinjaman tiga bulan. Agensi

Selepas kira-kira tiga musim bersama Lions XII, Safuwan kemudian berkelana dalam arena bola sepak tanah air bermula dengan PDRM FC dan kemudian menyertai beberapa pasukan lain.

Namun, tidak boleh dinafikan bahawa momen terbaik adalah apabila dia menghabiskan tempoh hampir lima tahun bersama Selangor FC yang menyaksikannya diberikan peranan kapten susulan pemergian Brendan Gan.

3. Robert Cornthwaite

Meskipun terdapat barisan pemain Australia pernah beraksi buat Selangor FC, penyokong sudah tentu tidak dapat melupakan kelibat Robert Cornthwaite yang merupakan antara bek tengah import terbaik bersama pasukan itu.

Dia yang beraksi buat skuad Gergasi Merah selama dua musim menjadi nadi utama kelab ketika mereka menjulang Piala Malaysia 2015 yang juga merupakan trofi terakhir pasukan.

Western Sydney Wanderers merupakan salah sebuah kelab Australia pernah diwakili Cornthwaite. Agensi

Lasak, tegas dan pantas membuat keputusan merupakan antara aspek terbaik ditonjolkan pemain tersebut sehingga membuatkannya aset terbaik dimiliki dalam barisan pertahanan.

Kesemua kebolehan disenaraikan itu terhasil kerana Cornthwaite memulakan karier di Australia bersama beberapa kelab, termasuk Adelaide United dan Western Sydney Wanderers.

Selain beraksi dalam Liga Malaysia dan negara kelahirannya, bek tengah itu juga memiliki pengalaman di Korea Selatan apabila menghabiskan tiga musim bersama Jeonnam Dragons. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram