
BEKAS bintang Manchester United, Paul Pogba mempersoalkan keputusan skuad The Red Devils membenarkan Marcus Rashford menyertai Barcelona secara pinjaman selama satu musim.
Rashford dilaporkan telah tiba di Catalonia, Barcelona, Sepanyol dan dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan pada Isnin bagi melengkapkan perpindahan ke kelab gergasi La Liga berkenaan.
Perjanjian pinjaman itu turut membolehkan Barcelona memilih untuk membeli pemain berkenaan secara kekal pada musim panas tahun hadapan.
BACA LAGI: Rezeki Man United bakal ikat penyerang murah lepas gagal pikat bintang buruan
BACA LAGI: Lebih bagus dari Mbeumo, Man United sedia ‘sailang’ sasaran Liverpool lepas perjumpaan rahsia
Menurut laporan dari Sepanyol, Rashford dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Barcelona pada Rabu, sebelum menyertai jelajah pramusim bersama pasukan barunya ke Asia pada Khamis.
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim sebelum ini mengesahkan bahawa Rashford, yang dipinjamkan ke Aston Villa pada separuh musim kedua lalu, tidak termasuk dalam perancangannya di Old Trafford.
Situasi berkenaan menjadi semakin jelas apabila penyerang Brazil iaitu Matheus Cunha tiba di Old Trafford dan diberikan jersi nombor 10 yang sebelum ini dipakai oleh Rashford.
Pogba, yang pernah beraksi bersama Rashford selama enam musim di Manchester United, meluahkan rasa terkejut dengan perkembangan tersebut. Dia juga menyifatkan kehilangan Rashford sebagai satu kerugian besar kepada kelab.
"Itu memang gila, tapi saya gembira untuk dia kerana mereka [United] telah ambil nombor dia. Manchester United kehilangan seorang pemain hebat. Malang bagi mereka.
“Tapi ini satu keuntungan besar untuk Barcelona, terus terang saya cakap. Saya tak nak ulas pasal United, sebab mereka dah beli beberapa pemain baharu dan saya rasa pengurus baru nak buat cara dia sendiri.
“Bukan salah dia (Amorim) sepenuhnya. Kalau dia tak yakin dengan seseorang, dia kena buat keputusan. Dia perlu menang. Kalau dia tak menang, dia akan dipecat," kata Pogba kepada penstrim IShowSpeed. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram