
PROSPEK pickleball sedang meningkat naik Indonesia, Ken Putri Shafa Salsabila mengakui suasana dan sokongan terhadap sukan tersebut di Malaysia jauh lebih meriah dan ‘hidup’ berbanding di negaranya sendiri.
Sempena penyertaannya di kejohanan World Pickleball Championship (WPC) Malaysia, Ken Putri berkongsi pengalamannya yang pernah bertanding dalam kejohanan sama di Indonesia, keghairahan peminat serta pemain tempatan di Malaysia jelas lebih tinggi.
Pelajar Ijazah Sarjana Sains Komunikasi yang mula menjinakkan diri dalam pickleball sekitar 2023 itu akui suasana sukan berkenaan di Malaysia semakin meningkat naik dengan positifnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Minta maaf peminat futsal, venue tukar jadi court pickleball dianggap wajar
BACA LAGI: [VIDEO] Baru buka seminggu, venue pickleball Amelia Henderson jadi tuan rumah kejohanan antarabangsa
Bagaimanapun, dari segi lokasi pertandingan, Ken Putri mengakui kemudahan dan suasana gelanggang di Indonesia lebih tersusun tanpa gangguan alam seperti angin kuat yang menyukarkan permainan di Malaysia.
"Rakyat tempatan sangat bersemangat terhadap pickleball, jadi kita tak boleh pandang rendah pada mereka. Walaupun terdiri daripada yang muda dan tua, kemahiran mereka jauh lebih baik daripada kami. Jadi memang sukar dijangka.
"Jika dibandingkan dengan Indonesia, saya lebih suka venue di Indonesia. Kerana tempatnya lebih sesuai dan teratur. Kurang halangan seperti angin dan sebagainya.
"Di Malaysia, semasa WPC, saya rasa angin lebih kuat. Jadi agak sukar untuk kami menyesuaikan bola. Kadang-kadang perlu pukul kuat, kadang-kadang perlahan. Ia memang mencabar," katanya kepada Majoriti.
Ken Putri, bekas atlet skuasy kebangsaan peringkat junior di Indonesia itu kini aktif menyertai kejohanan pickleball bersama keluarganya. Malah, dia sudah menyertai tiga kejohanan di Malaysia dan dua di Indonesia untuk tahun ini.
Dalam kejohanan terbaharunya di WPC Malaysia, atlet berusia 24 tahun itu tewas tipis di suku akhir dalam dua kategori berbeza iaitu Mix Intermediate dan WPC Women’s Doubles Intermediate dengan kedua-duanya skor sengit 14-15.
"Saya sepatutnya bermain dalam kategori Advanced, tapi lambat daftar jadi saya masuk kategori Open. Walaupun bukan tahap saya lagi, saya anggap ini pengalaman berharga untuk bertemu pemain profesional,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ken Putri turut menyatakan hasratnya untuk bergandingan suatu hari nanti dengan Nursharneem Shamsuddin iaitu pemain kelahiran Sabah yang dikaguminya kerana kekuatan pukulan dan teknik permainan.
Pemain profesional pickleball Malaysia, Nursharneem Shamsuddin.
Ken Putri melihat Nursharneem atau mesra dengan sapaan Neem sebagai lawan impian dan sumber inspirasi dengan bekas pemain tenis Malaysia itu dinobatkan sebagai National Champion Pickleball 4.0 pada November 2024.
"Dia bermain dengan penuh kesungguhan. Bola dia sangat kuat, teknik pun bagus. Saya harap dapat berlatih lebih keras dan mungkin setahun lagi boleh bergandingan dengannya," katanya sambil tersenyum.
Mengakhiri perbualan, Ken Putri berharap agar Malaysia dan Indonesia akan membentuk pasukan kebangsaan rasmi demi memberi ruang kepada pemain serius bersaing di peringkat lebih tinggi dalam sukan pickleball. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram