Kelab Lembah Klang terus berbelanja, striker dilupakan JDT antara 3 nama sedang dipantau


  • Podium
  • Isnin, 21 Jul 2025

Dumitru bakal mengikut jejak langkah beberapa rakan sepasukannya seperti Safawi Rasid (kanan) yang turut dipinjamkan dari JDT. — Facebook/KLCityfc

SKUAD Kuala Lumpur City FC dilaporkan sedang giat memantau tiga pemain import sebagai sebahagian daripada perancangan awal untuk memperkukuh skuad menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2025/2026.

Tiga pemain tersebut ialah dua pemain tengah dari Sepanyol, Gorka Larrucea dan Madger Gomes serta penyerang kelahiran Itali, Nicolao Dumitru Cardoso, yang masing-masing memiliki rekod pengalaman beraksi di pelbagai liga berprestij Eropah dan antarabangsa.

Spekulasi mengenai kehadiran mereka ke kem Lembah Klang itu mula bertebaran selepas beberapa foto ketiga-tiga pemain itu dimuat naik oleh pemerhati bola sepak tempatan, T. Avineshwaran di laman sosial X, sekali gus menarik perhatian penyokong skuad The City Boys.

BACA LAGI: Pernah jadi mangsa kad merah silap, kapten negara Afrika disebut rekrut terbaharu Harimau Kumbang

BACA LAGI: [VIDEO] Perancangan gugurkan 3 tonggak tampak menjadi buat Nafuzi, tak mustahil diulang berdepan Indonesia

"Difahamkan Kuala Lumpur sedang memantau ketiga-tiga pemain ini. Dua gambar pertama ialah pemain tengah Sepanyol, Gorka Larrucea dan Madger Gomes serta penyerang Itali Nicolao Dumitru Cardoso," tulisnya.

Larrucea dan Gomes memiliki profil menarik dengan pengalaman luas di liga-liga Sepanyol, manakala Dumitru, yang beraksi di posisi sayap pernah bermain dalam Serie A serta beberapa liga luar Eropah.

Menariknya, Dumitru pernah menabur bakti bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), namun tidak sempat membuat sebarang penampilan kompetitif apabila terpaksa bersaing dengan deretan pemain sayap berprofil tinggi seperti Arif Aiman Hanapi.

Pada musim lalu, pemain berketinggian 1.84 meter itu dipinjamkan ke kelab Indonesia, PSS Sleman, namun menurut laman Transfermarkt, dia kini telah kembali ke pangkuan JDT.

Sepanjang berada di Indonesia, bekas pemain SSC Napoli itu merekodkan enam gol dan dua bantuan jaringan daripada 28 penampilan dengan pulangan lebih baik diperlukan sekiranya mahu membawa KL City FC ke tahap lebih tinggi.

Jika khabar angin menyertai Kuala Lumpur City FC menjadi kenyataan, Dumitru bakal mengikut jejak langkah beberapa rakan sepasukannya seperti Safawi Rasid, Manuel Hidalgo dan Syamer Kutty Abba yang turut dipinjamkan dari JDT bagi menghadapi musim 2025/2026.

Setakat ini, KL City belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, namun pemantauan terhadap ketiga-tiga pemain ini dilihat sebagai langkah awal untuk membina pasukan lebih mantap dan kompetitif dalam saingan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram