Khalid Jamlus yakin kebolehan Harimau Malaya, mampu tundukkan Jordan di Piala Asia


  • Podium
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Khalid juga yakin skuad kebangsaan mempunyai kualiti untuk memulakan kempen Piala Asia dengan langkah kanan.

BEKAS pemain bola sepak negara, Khalid Jamlus melihat Harimau Malaya berada di landasan terbaik bagi menghadapi cabaran saingan Kumpulan E Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai pada Januari depan.

Berdasarkan pengalamannya, pemenang Kasut Emas itu berharap pasukan bimbingan Kim Pan-gon mampu mengekalkan prestasi cemerlang menjelang dua aksi pertama kumpulan iaitu menentang Jordan pada 15 Januari dan Bahrain lima hari selepas itu.

Katanya, tumpuan diberikan kepada kedua-dua negara kerana faktor fizikal pemain selain kelebihan yang dimiliki mereka.

Pertemuan terakhir Malaysia dengan Jordan adalah pada aksi persahabatan antarabangsa 2021 yang menyaksikan pasukan negara tewas 0-4 manakala perlawanan dengan Bahrain ialah pada kelayakan Piala Asia 2023 di mana Harimau Malaya tewas 1-2.

"Tapi dengan pasukan (Harimau Malaya) yang ada ini, saya rasa bukan satu masalah dan saya yakin mereka dapat menewaskan pasukan Jordan untuk mencuri mata pertama,” katanya kepada pemberita pada Kejohanan Bola Sepak KTM Komuter 2023 di Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

HM

Persiapan akhir sedang dirancang skuad kebangsaan menjelang aksi Piala Asia pada 15 Januari depan. FAM

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit diundi dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan juara dua kali, Korea Selatan.

Khalid turut memuji prestasi membanggakan yang ditampilkan oleh dua pemain negara iaitu pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim, atau lebih dikenali sebagai Mickey, dan penyerang Kuala Lumpur City (KL City) FC, Haqimi Azim Rosli.

Bekas bintang pasukan Perak itu berkata, kedua-duanya merupakan pemain terbaik yang boleh diletakkan sebagai harapan bagi skuad negara selain berharap lebih ramai penyerang berbisa dapat dilahirkan untuk memastikan Harimau Malaya tidak ketandusan pemain.

Dia juga berpendapat pemain tempatan perlu diberi keutamaan berbanding pemain naturalisasi walaupun kehadiran mereka banyak membantu memperbaiki ranking dunia Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Khalid mengingatkan pemain tempatan agar menampilkan aksi terbaik bagi merebut kesebelasan utama pasukan.

"Pemain tempatan kita kini lebih baik berbanding dahulu, jadi harap mereka diberi peluang lebih untuk bermain dan menonjol, sekarang naturalisasi dah memenuhi bola sepak negara, (kesan) jangka panjang nanti pemain tempatan tiada apa,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram