Pastikan lawan berkualiti di Pestabola Merdeka, bukan sekadar ranking lebih rendah


  • Podium
  • Khamis, 17 Jul 2025

Harimau Malaya terlepas peluang untuk beraksi menentang gergasi Asia seperti Iran dan Tajikistan. — Facebook/MalaysiaNT

PEMERHATI sukan tanah air, Afiq Rowley berpandangan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertindak pantas merancang aksi persahabatan bertaraf tinggi susulan keputusan menarik diri daripada Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025.

Menurut Afiq, penarikan diri Harimau Malaya dari kejohanan yang dijadual berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September depan itu bukan alasan untuk FAM berdiam diri.

Sebaliknya, badan induk bola sepak tanah air perlu segera mencari alternatif terbaik bagi memastikan skuad Harimau Malaya kekal kompetitif menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Oktober nanti.

BACA LAGI: Kami terlalu cuai ketika menyerang, lupa struktur pertahanan — Ubaidullah

BACA LAGI: Kelab enggan lepas bintang warisan, Harimau Malaya terpaksa tarik diri Piala CAFA 2025 

Malaysia memerlukan perlawanan kompetitif untuk membina persefahaman dan memperbaiki kelemahan. — Facebook/MalaysiaNT

"Suka atau tidak, FAM perlu pantas mendapatkan aksi-aksi persahabatan berkualiti. Sekurang-kurangnya lawan yang setara atau lebih kuat daripada kekuatan semasa skuad kebangsaan.

"Kita tak boleh lagi sekadar cari lawan untuk isi jadual seperti Papua New Guinea atau pasukan yang jauh lebih rendah ranking," katanya kepada Majoriti.

Keputusan menarik diri daripada kejohanan CAFA itu sebelum ini disahkan oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang memaklumkan bahawa kekangan masa dan jadual yang bertembung dengan tarikh di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjadi antara faktor utama.

Difahamkan, dua aksi awal peringkat kumpulan kejohanan itu tidak berada dalam kalendar FIFA, sekali gus menyukarkan Harimau Malaya untuk mendapatkan khidmat pemain utama yang beraksi bersama kelab masing-masing.

Peter Cklamovski memaklumkan bahawa kekangan masa dan jadual yang bertembung dengan tarikh di luar kalendar FIFA menjadi antara faktor utama Malaysia tarik diri Piala CAFA. — Facebook/MalaysiaNT

Jelas Afiq lagi, antara langkah terbaik yang boleh dilakukan FAM ialah menganjurkan kembali kejohanan Pestabola Merdeka sebagai platform memperkukuh keserasian dan taktikal pasukan kebangsaan.

"Kem latihan pusat yang lebih awal dan aksi persahabatan yang kompetitif amat penting untuk membina persefahaman dan memperbaiki kelemahan.

"Sudah tentu Pestabola Merdeka boleh dijadikan contoh terbaik. Pastikan lawan yang dijemput berkualiti agar pemain terbiasa dengan intensiti tinggi perlawanan antarabangsa," tambahnya.

Penarikan diri daripada CAFA 2025 dilihat sebagai satu kehilangan peluang berharga buat Harimau Malaya.

Namun, dengan perancangan rapi dan perlawanan persahabatan yang bersesuaian, skuad kendalian Cklamovski diyakini masih mampu mengekalkan momentum dan bersedia menghadapi cabaran besar akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram