
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi telah menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
Memetik kenyataan dikeluarkan oleh CAFA pada Rabu, penarikan diri Malaysia berlaku walaupun penyertaan negara sudah disahkan lebih awal, mengenai tarikh kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September 2025.
Menurut CAFA, tarikh dan jadual pertandingan tidak pernah berubah sejak awal pengumuman kejohanan.
BACA LAGI: Kelab enggan lepas bintang warisan, Harimau Malaya terpaksa tarik diri Piala CAFA 2025
BACA LAGI: Rahmat buat Nafuzi, 3 bintang B-23 termasuk Ubaidullah ada pengalaman bersama Harimau Malaya
“Malangnya, penarikan diri yang dibuat pada saat akhir ini telah mengganggu beberapa proses penganjuran yang sedang berjalan, lebih-lebih lagi memandangkan peringkat perancangan dan persiapan sudah berada pada tahap lanjut,” kata kenyataan tersebut.
FAM memaklumkan bahawa keputusan untuk menarik diri dibuat kerana kejohanan itu tidak sepenuhnya berada dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA, sekali gus menyukarkan proses pelepasan pemain oleh kelab masing-masing.
Namun begitu, CAFA menegaskan bahawa berdasarkan peraturan kejohanan, pendaftaran akhir pemain yang dipilih daripada senarai awal 35 orang boleh dilakukan secara perlawanan demi perlawanan.
Menurut CAFA, peraturan itu direka bagi memberikan fleksibiliti maksimum, termasuk membenarkan penyertaan pemain utama untuk aksi-aksi berikutnya.
Dalam kenyataan yang sama, CAFA menyuarakan komitmen mereka untuk meneruskan penganjuran kejohanan yang kompetitif dan berkualiti tinggi demi manfaat negara-negara Asia Tengah dan sekitarnya.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada kejohanan ini,” tambah CAFA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram