
PRESIDEN baharu Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) Tan Sri Annuar Musa menzahirkan komitmen tinggi untuk memulihkan semula prestasi pasukan dan memastikan kelangsungan kewangan kelab bola sepak itu yang kini beraksi dalam saingan Liga Super.
Dalam kenyataan selepas menerima pelantikan sebagai Presiden Kelantan TRW, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas hampir dua jam mendengar penjelasan pihak kelab berkenaan pelbagai isu serta menilai keupayaan dan komitmen pemegang saham.
“Saya bersetuju menggalas tugas ini kerana percaya Kelantan TRW masih berpotensi untuk bangkit. Dua objektif utama saya ialah meningkatkan mutu serta daya saing pasukan dalam Liga Super dan memastikan kelab terus hidup secara berdaya maju, termasuk melunaskan tunggakan gaji pemain,” katanya di Facebook.
BACA LAGI: Jang Hobin tak main-main, Luqman Hakim antara 3 bintang menyerlah lepas calar ego Kelantan RW
Menurutnya, kelab telah berjaya menyelesaikan semua tunggakan gaji sehingga kewangan 2024, manakala usaha sedang giat dijalankan bagi menyelesaikan tunggakan bagi tahun semasa.
Beliau turut berpuas hati dengan kesungguhan pihak pengurusan kelab dalam menangani isu hutang lapuk yang membelenggu kelab itu sejak sekian lama.
Dalam pada itu, sebahagian dana sedia ada akan digunakan bagi membina skuad lebih mantap untuk musim 2025/2026.
"Dari segi kejurulatihan, Ketua Jurulatih Elavarasan turut dilantik sebagai pengurus pasukan, dengan dibantu oleh dua penolong pengurus dan empat penolong jurulatih dalam struktur pengurusan baharu pasukan," ujarnya.
Mengulas isu sekatan FIFA, beliau memaklumkan bahawa daripada sembilan sekatan yang dikenakan, tujuh telah berjaya diselesaikan, manakala dua lagi sedang dalam proses perundingan dengan satu daripadanya dijangka selesai minggu ini.
Pelantikan Annuar sebagai Presiden baharu Kelantan TRW disambut positif oleh ramai penyokong setia pasukan, yang menganggap kepulangannya sebagai satu lembaran baharu buat bola sepak negeri itu.
Rata-rata penyokong percaya pengalaman dan kepimpinan Annuar mampu mengembalikan kegemilangan Kelantan TRW yang pernah menakluk Liga Malaysia.
"Inilah keputusan yangt terbaik, saya juga setuju dengan pelantikan E Elavarasan sebagai Ketua Jurulatih dan pengurus pasukan, dengan itu, presiden boleh memberi sepenuh tumpuan kepada proses pentadbiran khususnya dari aspek kewangan, pemasaran serta penjenamaan Kelantan The Red Warriors FC, tahniah Tan Sri, semoga Tan Sri dapat memulihkan kembali kemeriahan bola sepak Kelantan," kata Azwan Yamin.
"Saya yakin dengan kewibawaan Tan Sri, semoga mendapat penaja baru demi daya tahan kelab Kelantan The Red Warrios," kata We Daus Wa Loh.
"Bermula era transformasi bumi Kelantan, terima kasih kerana memilih orang yang tepat yang memiliki jiwa dengan bola Kelantan," kata Deco Cobana.
Kelantan The Red Warriors memperkenalkan 10 pemain import baharu bagi memperkuatkan cabaran musim 2025/2026. — Facebook/tansriannuarmusa
Dalam perkembangan lain, Annuar turut memaklumkan bahawa kelab Pantai Timur itu sah membawa masuk 10 import bagi memperkuatkan cabaran musim 2025/2026.
Antara pemain yang diperkenalkan ialah Ifedayo Olusegun, Prince Aggreh, Damyan Damyanov, Hein Htet Aung, Albert Kang, Alexandre Yeoule, Muayad Al Khouli, Simen Lyngbo, Abdul Sesay dan Yusuf Sesay.
Daripada jumlah itu, tiga daripadanya Ifedayo, Aggreh dan Htet Aung pernah beraksi dalam Liga Malaysia musim lalu.
Annuar Musa turut berkongsi makna di sebalik nama 'The Real Warriors', iaitu satu identiti yang menggambarkan keberanian dan sumbangan berdasarkan kemampuan masing-masing.
"The Real Warriors adalah mereka yang berani tampil dan menyumbang mengikut keupayaan masing masing.....suka duka bersama...," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram