Gagal ikat Isak, Liverpool ‘balas dendam’ sailang sasaran Newcastle


  • Podium
  • Khamis, 17 Jul 2025

Skuad The Reds teruja memperkuatkan jentera serangan pasukan bagi musim baharu. — Agensi

PELABURAN mencecah lebih £170 juta (RM966.7 juta) dikeluarkan Liverpool setakat ini dianggap belum cukup untuk memperkuatkan pasukan yang mahu merebut takhta Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan.

Perpindahan terbesar dilakukan skuad The Reds setakat ini pastinya apabila mereka membawa masuk Florian Wirtz dan Jeremie Frimpong dari Bayer Leverkusen sementara Milos Kerkez disambar dari Bournemouth.

Ketiga-tiga bintang baharu itu dijangka mampu membawa perubahan besar memandangkan masing-masing direkrut bagi menutup kelemahan ketara disaksikan musim lalu.

BACA LAGI: Lepas sah kekalkan Salah, Liverpool kian bernafsu sambar bintang Perancis ganti Nunez

BACA LAGI: Liverpool tak minat, Man United lega ada kelebihan ikat Viktor Gyokeres

Newcastle pantas menutup pintu rundingan buat Liverpool yang mahu mendapatkan Alexander Isak. — Agensi

Bagaimanapun, juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu turut bercita-cita untuk membawa masuk penyerang baharu selepas prestasi Darwin Nunez terus mengecewakan selepas empat musim di kelab tersebut.

Khabar angin sebelum ini menyatakan Liverpool berminat mendapatkan khidmat peledak Newcastle United, Alexander Isak meskipun perpindahan tersebut akan menelan kos perpindahan mencecah £130 juta (RM739.2 juta).

Namun, belum sempat melakukan sebarang rundingan, skuad The Toons pantas menutup pintu kepada perpindahan itu kerana khidmat penyerang antarabangsa Sweden tersebut cukup diperlukan.

Menyedari situasi itu, Liverpool pantas mencari alternatif bagi mengukuhkan jentera serangan apabila mereka dilaporkan mahu membawa masuk tonggak Eintracht Frankfurt, Hugo Ekitike.

Ura-ura tersebut dilaporkan wartawan ternama, Fabrizio Romano yang menyatakan proses rundingan antara kedua-dua kelab sedang berjalan lancar meskipun tiada persetujuan dicapai setakat ini.

Ekitike berada dalam radar kelab-kelab elit sekitar Eropah, termasuk Liverpool dan Newcastle. — Agensi

"Difahamkan, perbincangan antara Liverpool dan Eintracht berhubung Ekitike. Tatkala usaha Liverpool mendapatkan Isak tidak membuahkan hasil disebabkan pendirian Newcastle, rundingan Liverpool mendapatkan Ekitike berjalan lancar," katanya.

Usaha diambil skuad The Reds itu dilihat sebagai langkah licik daripada kelab tersebut kerana pemain terbabit turut berada dalam radar Newcastle United yang mahu memberi saingan lebih baik di peringkat domestik dan Eropah musim depan.

Penyerang skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Perancis itu merupakan antara prospek terbaik di Eropah musim lalu apabila merekodkan 22 gol dalam semua pertandingan, termasuk 15 dalam saingan Bundesliga.

Sekiranya pemain terbabit dapat menjadi milik Liverpool, jentera serangan skuad The Reds akan menjadi semakin sukar dihalang melihat kepada bintang lain dalam posisi terbabit.

Melihat kepada nilai perpindahan Ekitike di laman sesawang transfermarkt, juara bertahan EPL itu perlu berbelanja sehingga £64 juta (RM363.9 juta) bagi khidmatnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram