
TRAGEDI jalan raya yang mengorbankan bintang Liverpool, Diogo Jota serta adiknya, Andre di Zamora, Sepanyol pada Khamis sememangnya mengejutkan dunia bola sepak antarabangsa.
Dia yang menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25 selain membantu Portugal menjulang Liga Negara-Negara UEFA sepatutnya sedang sibuk meraikan hari-hari gembiranya.
Ini kerana selain mengecapi kejayaan di atas padang, Jota baru sahaja menamatkan zaman bujang selepas mengahwini pasangannya, Rute Cardoso pada 22 Jun lalu selepas mereka sudah bersama sejak di bangku persekolahan.
BACA LAGI: Diogo Jota: Perginya sosok aktif pejuang hak wanita, kesaksamaan jantina dalam dunia sukan
BACA LAGI: Liverpool berduka, Diogo Jota terbunuh nahas jalan raya tragis ketika usia 28 tahun
Cardoso (kanan) sudah menjalinkan hubungan bersama Jota sejak di bangku persekolahan. — Agensi
Perkahwinan mereka yang diadakan secara sederhana itu diabadikan di laman media sosial masing-masing dengan setiap mesej ditinggalkan sudah tentu memberi kesan lebih mendalam selepas pemergian mengejut tersebut.
Malah, pesanan terakhir diberikan Rute kepada Jota berbunyi 'Ya, untuk selama-lamanya' dengan ia menceritakan bahawa mereka mahu mengekalkan hubungan tersebut hingga ke akhir hayat.
Dalam hantaran berbeza pula, wanita pilihan tonggak The Reds itu meninggalkan mesej ringkas 'Impian saya menjadi kenyataan' sebelum Jota menjawab 'Saya adalah seorang yang bertuah'.
Namun, kisah pasangan itu berakhir lebih awal selepas pemain Liverpool berkenaan menghembuskan nafas terakhir yang semestinya pahit untuk ditelan isteri serta anak-anaknya.
Keadaan kereta mewah milik Jota selepas insiden yang meragut nyawa pemain tersebut serta adiknya. — Agensi
Difahamkan, Jota berada di Sepanyol bagi menjalani pembedahan paru-paru sambil ditemani adiknya dan mahu pulang ke England menggunakan feri kerana pihak perubatan menasihatinya untuk tidak menaiki pesawat.
Namun, nasib malang menimpa kedua-dua pemain terbabit apabila tayar kereta mewah milik bintang The Reds itu pecah sehingga menyebabkan kenderaan tersebut terbabas dan dijilat api.
Pakar fisioterapi yang merawat Jota, Miguel Goncalves mengesahkan sedang merawat pemain tersebut kira-kira lima jam sebelum kemalangan itu berlaku dan sekali lagi bertemunya ketika makan malam.
Jelasnya, mereka mahu bergerak ke terminal feri pada waktu malam kerana cuaca lebih dingin sebelum Jota menyatakan kesungguhannya untuk kembali ke atas padang selepas selesai sahaja pembedahan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram