[VIDEO] 'Pelbagai punca', lokasi Diogo Jota maut disebut 'kawasan hitam', penduduk sudah lama mengadu jalan teruk


  • Podium
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Keadaan kereta yang dinaiki Jota dan adiknya selepas terlibat kemalangan di Sepanyol. — Agensi

KEHILANGAN pemain berbakat Liverpool, Diogo Jota dan adiknya, Andre Silva akibat kemalangan tragis, meninggalkan kesan mendalam terhadap peminat bola sepak dunia.

Dalam kejadian pada Khamis, pemain antarabangsa Portugal berusia 28 tahun itu terlibat dalam perjalanan bersama adiknya, Andre, 25, yang juga meninggal dunia apabila kereta mewah mereka terbabas dan terbakar.

Kejadian berkenaan berlaku di Zamora, Sepanyol dan laluan itu disifatkan sebagai lokasi yang sering berlaku kemalangan maut seperti dilaporkan sportbible.com.

BACA LAGI: Diogo Jota: Perginya sosok aktif pejuang hak wanita, kesaksamaan jantina dalam dunia sukan

BACA LAGI: Liverpool berduka, Diogo Jota terbunuh nahas jalan raya tragis ketika usia 28 tahun

Menurut seorang wakil kerajaan, Angel Blanco, jalan yang mengorbankan dua figura tersebut memang berbahaya.

Perkara itu turut diakui sumber pihak berkuasa tempatan yang mendakwa laluan A-52 melalui Cernadilla mempunyai selekoh bahaya.

"Tahap penglihatan terhad pada waktu malam juga sering menjadi punca kemalangan di kawasan ini.

"Kini, dua pemain bola sepak terkenal yang mempunyai masa depan cerah menjadi mangsa.

 

"Mungkin lebih ramai mangsa akan terkorban akibat bahaya jalan ini," kata sumber itu.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kemalangan itu dan tidak menolak beberapa kemungkinan yang menjadi penyebab insiden tragis tersebut.

Antaranya mungkin disebabkan faktor jalan yang teruk seperti jalan berlubang dan jalan tidak rata yang boleh dilihat di laluan tersebut.

Menurut laporan akhbar tempatan, El Dia de Zamor, sebanyak 19 kemalangan dilaporkan di lokasi itu pada 2023.

Tragisnya, hampir kesemua kemalangan melibatkan kematian dengan purata 1.5 kematian bagi setiap insiden.

Lokasi Jota dan adiknya terbunuh juga disifatkan sebagai 'kawasan hitam' kerana banyak hidupan liar melintas di lokasi itu terutamanya serigala dan rusa.

Malah kebanyakan kemalangan yang berlaku disebabkan pemandu cuba mengelak atau terlanggar hidupan liar.

Penduduk tempatan juga sudah berulang kali mengadu kepada pihak berkuasa tempatan tentang tahap keselamatan jalan yang lemah di kawasan itu, tetapi tiada tindakan lanjut diambil. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram