e-Hati: Polis sahkan wujud adegan tanpa seurat benang dalam program motivasi


  • Kes
  • Rabu, 16 Jul 2025

Program tersebut dikatakan dianjur secara bermalam selama empat hari melibatkan kira-kira 50 peserta.

POLIS mengesahkan wujudnya adegan berbogel dalam satu program motivasi rumah tangga yang dikenali sebagai e-Hati, khususnya dalam segmen yang dinamakan Queen’s Night di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, Selangor pada September tahun lalu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, program tersebut dikatakan dianjur secara bermalam selama empat hari melibatkan kira-kira 50 peserta termasuk individu bukan beragama Islam.  

Peserta dikatakan membayar antara RM6,000 hingga RM9,000 bagi menyertai program tersebut, bergantung kepada pilihan Pakej A atau B yang ditawarkan, kedua-duanya mengandungi acara kontroversi Queen’s Night. 

BACA LAGI: 'Jual pada terdesak', Zeeda Aziz bidas taktik eHati, seru wanita lebih waspada

BACA LAGI: Didakwa anjur sesi motivasi songsang di Shah Alam, Jakim siasat terperinci program eHATI

"Pada majlis itu, memang ada kegiatan bogel yang dilakukan oleh empat individu, acara itu dipanggil sebagai ‘queens night’ yang dilakukan pada malam terakhir program berkenaan.

"Siasatan mendapati aktiviti bogel itu dilakukan oleh fasilitator dan juga peserta program berkenaan. 

"Polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan pada program berkenaan termasuk beberapa cecair yang digunakan sebagai minuman pada majlis berkenaan.

"Siasatan juga mendapati program ini tidak hanya memfokuskan individu beragama Islam sebaliknya ia dianjurkan kepada semua," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Tambahnya, pihaknya juga sudah menghantar kandungan cecair yang dirampas kepada Jabatan Kimia bagi mengetahui kandungan cecair berkenaan.

Terdahulu, pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi rumah tangga (eHATI) bersama empat individu lain direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas semua suspek iaitu empat wanita dan dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu. 

Semua individu berkenaan berusia antara 26 hingga 57 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram