
PELUMBA berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah membuktikan kemampuannya apabila merangkul kejuaraan sulung musim ini dengan muncul juara dalam Perlumbaan 2 kategori ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Pusingan Ketiga.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Litar Twin Ring Motegi, Motegi, Jepun pada Ahad itu menyaksikan pelumba JDT Racing Team berkenaan tampil dengan aksi cemerlang untuk menebus kekecewaan sehari sebelumnya selepas gagal menamatkan Perlumbaan 1.
Walaupun menghadapi perlawanan sengit sepanjang 11 pusingan itu, Hafizh Syahrin berhasil mencatat masa 24 minit 09.165 saat untuk muncul juara dalam perlumbaan penuh dramatik tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Safiq Rahim 'jejaka payung' Hafizh Syahrin, saksikan JDT Racing Team raih podium Sepang
BACA LAGI: Enjin mula panas, ramai harap Hafizh Syahrin tampil serasi bersama JDT Racing Team
Bermula dari petak utama, Hafizh Syahrin tidak menunggu lama untuk menguasai perlumbaan namun pelumba tuan rumah, Keito Abe dari pasukan SDG HARC-PRO Honda Philippines memberi tekanan hebat apabila berjaya memintasnya pada pusingan keempat.
Tidak gentar dengan cabaran berkenaan, Hafizh Syahrin yang terkenal dengan gaya tunggangan agresif terus mengekori rapat pencabarnya dan akhirnya menamatkan saingan dengan kelebihan tipis 0.213 saat di hadapan Abe.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik pelumba Jepun iaitu Sho Nishimura daripFada pasukan Japan Post Honda Racing yang mencatat masa 24:12.210 saat.
Kemenangan sulung berkenaan jelas menjadi detik manis buat pelumba JDT Racing Team itu, malah mencetuskan momen penuh emosi buat seluruh pasukan khususnya seorang insan istimewa yang setia menantinya di tepi litar.
Di tengah-tengah sorakan dan ketegangan perlumbaan, kelibat bapa Hafizh Syahrin iaitu Abdullah Harun yang menyambut anaknya usai kemenangan itu berdiri dengan penuh sabar menjadi perhatian ramai.
Pelukan hangat daripada seorang ayah kepada anak selepas perlumbaan yang tegang membuatkan ramai penyokong JDT Racing Team beremosi melihat video yang dimuat naik kelab itu di laman Facebook mereka.
"Paling terharu bila ayah sendiri tunggu di tepi track," kata penyokong pasukan itu iaitu Firdaus Ismail.
"Bangga betul ayah Hafiz Syahrin dengan anaknya," tambah penyokong JDT Racing Team, Qalbu Hidup.
Untuk info, Abdullah merupakan individu terawal yang mempercayai bakat Hafizh Syahrin dengan seawal usia sembilan tahun membawa anaknya menyertai perlumbaan 'Pocketbike' ke serata Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram