[VIDEO] Luis Enrique ‘koyak’, tumbuk cekik Joao Pedro lepas PSG malu besar


  • Podium
  • Isnin, 14 Jul 2025

Enrique dilihat melakukan tindakan agresif dengan mencekik dan menumbuk Pedro. — Agensi

WAKIL England, Chelsea tiada masalah menewaskan kelab Perancis iaitu Paris Saint-Germain (PSG) 3-0 pada final Piala Dunia Kelab di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey, Amerika Syarikat pada Isnin. 

Perlawanan yang dihadiri 81,118 penonton itu menyaksikan kelab England berkenaan mendominasi sepenuhnya permainan, sekali gus menundukkan juara Eropah dan Perancis yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain di penghujung aksi. 

Kemenangan Chelsea terhasil menerusi sumbangan dua gol daripada pemain sensasi mereka, Cole Palmer dan jaringan ketiga diberikan oleh tonggak baharu The Blues, Joao Pedro pada minit ke-41.

BACA LAGI: Pentingnya AED, pilu hati lihat 4 bintang bola sepak termasuk Firos, meninggal dunia ketika beraksi

BACA LAGI: Tak sempat jumpa anak sulung, pemain bola sepak Palestin maut akibat serangan peluru berpandu Israel

PSG terus dirundung malang apabila pemain tengah Les Parisiens, Joao Neves dilayangkan kad merah pada minit ke-83 selepas menarik rambut Marc Cucurella dalam insiden yang mencetuskan kekecohan kecil. 

Tidak cukup dengan kekecohan pada penghujung babak permainan, pemain dari kedua-dua kem terlibat dalam konflik apabila mereka mula tolak-menolak antara satu sama lain usai perlawanan tamat. 

Keadaan bertambah tegang apabila jurulatih juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2024/2025, Luis Enrique dilihat melakukan tindakan agresif dengan mencekik dan menumbuk Pedro. 

Video rakaman Enrique mencekik dan menumbuk pemain Brazil itu tular di media sosial dengan ramai mengkritik tindakan jurulatih berusia 55 tahun berkenaan yang dianggap tidak profesional. 

Bagaimanapun, Enrique menafikan tindakannya itu dengan menegaskan bahawa dia mahu menenangkan keadaan daripada menjadi lebih tegang antara kedua-dua pasukan. 

"Ini boleh dielakkan. Matlamat dan objektif saya sentiasa cuba memisahkan pemain bola sepak untuk mengelak masalah yang lebih besar.

"Terdapat banyak ketegangan, banyak tekanan. Saya fikir kita semua harus mengelak daripada berbuat demikian, dan ia tidak sepatutnya berlaku lagi.

"Saya ulangi, niat saya sentiasa untuk mengelakkan sebarang jenis situasi untuk menjadi lebih teruk. Itu adalah matlamat saya. 

“Saya akan memastikan bahawa pemain saya tidak bertindak keterlaluan. Saya memberitahu anda, ini bukan yang terbaik, dan ini hanyalah hasil akhir tekanan daripada perlawanan itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram