
BEKAS penyerang Sabah FC, Joao Pedro kini menjadi perhatian selepas menamatkan kontrak bersama kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC (HCMC FC).
Difahamkan, Pedro dilepaskan kelab Vietnam tersebut susulan daripada prestasinya yang kurang memberansangkan.
Walaupun penyerang kelahiran Brazil itu sebelum ini pernah beraksi cemerlang di Liga Malaysia, khususnya ketika menyarung jersi Sabah pada musim 2023.
BACA LAGI : Endrick Dos Santos kurang menyerlah di Vietnam, tak mustahil Sabah FC, kelab Lembah Klang destinasi transit
BACA LAGI : JDT labur RM15 juta, Sabah FC sempat menyelit miliki pemain termahal Liga Super
Namun, nasib kurang menyebelahinya di Vietnam selepas gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan di sana.
Sepanjang tempoh beraksi di V. League 1, penyerang berusia 25 tahun itu merekodkan 10 penampilan dan tiga gol.
Dengan kontraknya dikatakan akan ditamatkan lebih awal, beberapa kelab di Liga Malaysia dilihat berpotensi menjadi destinasi baharu buat pemain lincah tersebut.
1. Kuching City FC
Gandingan Pedro bersama Gabriel Nistelrooy dilihat mampu memberi impak besar kepada jentera serangan kelab itu. — Gambar/ Facebook Kuching City FC
Walaupun sudah mempunyai senarai barisan pemain yang sesuai namun skuad The Cats dilihat masih belum cukup kuat di bahagian serangan.
Sekiranya skuad The Cats berjaya mendapatkan khidmat Pedro, gandingan bersama penyerang sedia ada, Gabriel Nistelrooy, dilihat mampu memberi impak besar kepada jentera serangan kelab itu.
Kedua-dua pemain mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh saling melengkapi, sekali gus memperkuatkan aspek taktikal pasukan.
Dalam masa sama, Pedro pula lebih dikenali dengan kekuatan fizikal dan penyudah tajam di dalam kotak penalti dan dengan Gabriel memainkan peranan sebagai penyerang, Pedro boleh menjadi ‘target man’ utama yang menamatkan gerakan dengan jaringan.
Tambahan pula, faktor Pedro pernah menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak Malaysia menjadi kelebihan buat pasukan dari Sarawak itu.
2. KL City FC
Kehadiran Pedro boleh melengkapkan rangkaian serangan pasukan itu yang kini sudah memiliki dua pemain sayap lincah iaitu Safawi Rasid (kiri) dan Hidalgo. — Gambar/Facebook KL City FC
Jika Joao Pedro menyertai KL City, kehadirannya boleh melengkapkan rangkaian serangan pasukan itu yang kini sudah memiliki dua pemain sayap lincah iaitu Manuel Hidalgo dan Safawi Rasid.
Manakan tidak, dengan gaya permainan Pedro yang berperanan sebagai penyerang tengah yang kuat secara fizikal dan tajam dalam kotak penalti, dia mampu menjadi penyudah utama kepada hantaran-hantaran dari kedua-dua sayap.
Hidalgo terkenal dengan kemahiran individu, kelajuan serta kemampuan membuat hantaran silang yang tepat, manakala Safawi pula memiliki rembatan kuat dan kelincahan untuk mencipta peluang.
Pedro, dalam peranan penyerang tradisional, boleh memanfaatkan kelebihan tersebut untuk mencetak gol dari posisi strategik sama ada menerusi tandukan, rembatan jarak dekat mahupun situasi bola mati.
Dengan pengalaman Pedro dalam Liga Malaysia bersama Sabah sebelum ini, proses adaptasi juga dijangka pantas, sekali gus memberi nilai tambah yang besar kepada pasukan bimbingan Risto Vidakovic.
3. Imigresen FC
Thankgod Michael merupakan satu-satunya pemain import dalam Imigresen FC setakat ini. — Gambar/Facebook ImigresenFC
Imigresen FC setakat ini belum mengumumkan sebarang pemain import baharu bagi menghadapi musim baharu dan masih mengekalkan pemain import dari Nigeria, Thankgod Michael.
Sebagai kelab yang sedang membina nama di pentas lebih tinggi, Imigresen FC memerlukan seorang lagi pemain berpengalaman untuk memimpin barisan hadapan dan menjadi inspirasi kepada pemain muda dalam skuad.
Gaya permainan fizikalnya serta kemampuan menjaringkan gol dalam situasi tertekan sangat diperlukan oleh pasukan seperti Imigresen FC yang mungkin tidak memiliki banyak peluang dalam setiap perlawanan.
Dia juga boleh menjadi titik fokus dalam serangan dan membantu membuka ruang buat rakan sepasukan.
Tambahan pula, jika Pedro menjadi import pertama kelab itu musim ini, dia berpeluang mencipta impak serta-merta dan menjadi ikon baharu Imigresen FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram