Selain gandingan mantap Ramos-Ramles, usah lupa ada 4 lagi pasangan kembar main satu kelab hiasi Liga M


  • Podium
  • Sabtu, 12 Jul 2025

Ramos dan Ramles Sari merupakan gandingan mantap adik-beradik kembar yang pernah menjadi ikon Bujang Senang sekitar era 90-an.

FENOMENA pasangan kembar dalam bola sepak sememangnya unik, apatah lagi apabila mereka bermain bersama dalam satu pasukan. 

Di pentas Liga Malaysia, kehadiran pasangan kembar bukan sekadar kebetulan tetapi turut membentuk dinamika istimewa dalam padang.

Jika disebut nama Ramos dan Ramles Sari, peminat bola sepak Sarawak pasti masih mengingati gandingan mantap adik-beradik kembar ini yang pernah menjadi ikon Bujang Senang sekitar era 90-an.

Mereka menjadi simbol kesetiaan dan kekuatan Sarawak FA dalam Liga M suatu ketika dahulu.

Mewarisi semangat itu, empat lagi pasangan kembar pernah menghiasi pentas bola sepak tanah air dengan aksi bersama kelab yang sama:

1. Mohamad Feriza Ismail & Mohamad Faraok Ismail (Kedah FA)

Kembar Feriza dan Faraok mula menyertai bola sepak secara serius sejak 1988. — Gambar/Facebook KedahFA

Dua nama yang tidak asing dalam sejarah bola sepak Kedah Darul Aman, Feriza dan Faraok Ismail, bukan sekadar saudara kembar mereka simbol kejayaan bola sepak Kedah sepanjang era 90-an hingga awal 2000-an.

Feriza dan Faraok mula menyertai bola sepak secara serius sejak 1988. Bermula dari bawah iaitu Piala Razak, Piala Presiden, Piala FAM dan mereka akhirnya menyarung jersi skuad utama Kedah FA dan juga Perlis FA.

Feriza memakai jersi nombor 15, beraksi sebagai pertahanan tengah, manakala Faraok bernombor 7, juga mengemudi posisi sama. 

Kedua-duanya merupakan produk Akademi Bola Sepak Kedah di bawah bimbingan Allahyarham Azraai Khor, dan menjadi sebahagian daripada skuad Piala Presiden Kedah 1991 yang muncul juara buat kali pertama.

Bersama skuad utama Kedah, mereka menyumbang kepada pelbagai kejuaraan utama.

2. Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak & Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak (JDT)

Zaquan (kiri)  dan Aidil pernah bergandingan dalam skuad kebangsaan Malaysia. — Gambar Instagram Zaquan/Aidil

Pasangan kembar paling terkenal dalam sejarah bola sepak negara, Aidil dan Zaquan membuktikan bahawa darah dan semangat perjuangan mampu mengangkat nama mereka ke peringkat tertinggi.

Aidil pernah menjadi tonggak utama pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Zaquan pernah menyarung jersi beberapa kelab ternama termasuk Negeri Sembilan FC, Kedah, Perak dan JDT sendiri.

Kejayaan mereka tidak terhenti di kelab sahaja yang mana kedua-duanya pernah bergandingan dalam skuad kebangsaan Malaysia, menjadikan mereka antara pasangan kembar paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak tempatan.

Lebih membanggakan, mereka mencatat sejarah sebagai pasangan kembar pertama memenangi dua kejuaraan liga berbeza dalam saingan Liga Malaysia sejak tahun 2004, satu pencapaian yang belum mampu disaingi oleh mana-mana pasangan kembar lain sehingga kini.

2. Ryan Lambert & Declan Lambert (KL City FC)

Declan Lambert dan Ryan Lambert merupakan  watak penting dalam kejayaan KL City sejak beberapa musim lalu. — Gambar/ Facebook Kl City

Pasangan kembar Ryan Lambert dan Declan Lambert dari Australia ini bukan sekadar pelengkap skuad, tetapi menjadi watak penting dalam kejayaan KL City sejak beberapa musim lalu. 

Mereka membantu pasukan ibu kota menjuarai Piala Malaysia 2021, mara ke final Piala AFC 2022, serta menjadi finalis Piala FA 2023 – bukti nyata akan impak besar mereka dalam skuad The City Boys.

Declan beraksi sebagai pertahanan kiri manakala Ryan mengemudi bahagian tengah, memberikan keseimbangan taktikal dalam pasukan. 

Keunikan posisi mereka melengkapi satu sama lain dan menambah variasi dalam perancangan taktikal jurulatih.

Walaupun kini sah dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT), kedua-duanya dipinjamkan semula ke KL City untuk musim 2025, mengekalkan aura dan pengaruh mereka dalam Liga Super.

3. Noor Aidil & Noor Adha (Negeri Sembilan FC)

Noor Aidil dan Noor Adha, baru sahaja dinaikkan ke skuad utama Negeri Sembilan FC untuk saingan Liga Super Malaysia musim 2025–26. — Gambar/Facebook NSFC

Pasangan kembar muda yang sedang mencipta nama, Noor Aidil dan Noor Adha, baru sahaja dinaikkan ke skuad utama Negeri Sembilan FC untuk saingan Liga Super Malaysia musim 2025–26. 

Kedua-duanya sebelum ini beraksi bersama skuad B-20 Negeri Sembilan dan menunjukkan prestasi konsisten sehingga layak dipromosikan ke pasukan senior pertengahan tahun ini.

Noor Aidil, kelahiran 4 Februari 2004, beraksi di posisi pertahanan tengah dan pernah bermain untuk PDRM B-20 pada 2023 sebelum menyertai Negeri Sembilan B-20 pada 2024. 

Manakala Noor Adha, juga pemain pertahanan, terkenal sebagai 'arkitek' pertahanan skuad belia pasukan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram