
KEM Penang FC dilihat semakin bersedia untuk menghadapi musim baharu apabila hampir pasti mendapatkan tiga tonggak utama Perak FC bagi memperkukuh pasukan Harimau Kumbang.
Pasukan dari Utara tanah air itu kini dilihat mengorak langkah lebih awal dalam persiapan menghadapi saingan Liga Super 2025/2026, dengan membawa masuk pemain-pemain berpengalaman dalam kancah Liga Malaysia.
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran, menerusi satu hantaran di platform X pada Khamis.
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas Asnawi Mangkualam, kini giliran bek kanan Sang Penyu pamer skil tackle Garnacho
BACA LAGI: Dugaan Harimau Malaya, bek lasak Sabah FC terlepas aksi menentang Cape Verde, Vietnam
Wan Zack semakin hampir untuk menyarung jersi Penang FC musim depan. — Facebook/PerakFC
Lebih menarik, bukan satu atau dua, malah tiga pemain Perak FC dikhabarkan hampir pasti menyarung jersi Harimau Kumbang.
Mereka ialah pemain tengah Firdaus Saiyadi, pemain sayap berpengalaman, Wan Zack Haikal Wan Noor dan penjaga gol, Ramadhan Abd Jamid.
"Difahamkan bahawa pemain tengah Firdaus Saiyadi, pemain sayap Wan Zack Haikal dan penjaga gol Ramadhan Abd Jamid hampir pasti menyertai Penang FC bagi menghadapi musim baharu," katanya.
Penang FC sebelum ini telah mengumumkan pelepasan 22 pemain daripada skuad mereka sebagai langkah penyusunan semula pasukan untuk menghadapi musim 2025/2026.
Antara pemain yang dilepaskan termasuk dua import iaitu Rodrigo Dias dan Neto Oliveira, serta tiga pemain pinjaman iaitu Syamer Kutty Abba (Johor Darul Ta’zim), Richmond Ankrah (Selangor FC) dan Sikh Izhan Nazrel yang turut kembali ke Selangor FC.
Dengan perubahan besar dalam skuad dan penarikan diri Perak FC daripada saingan Liga Super musim hadapan, penghijrahan Wan Zack dan dua rakannya ke Penang dilihat sebagai satu langkah yang logik dan berpotensi memberi impak positif kepada pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram