[VIDEO] Kecewa pengurusan Perak tak tunai janji, bek muda TBG akui terima tawaran kelab Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 12 Jun 2025

Skuad TBG yang dibarisi lambakan pemain berkualiti tidak akan bersaing dalam Liga Super 2025/26. — Facebook/Perak FC

ISU pengurusan Perak FC akhirnya memakan diri kelab itu apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bertindak menghalang penyertaan mereka dalam Liga Super musim depan.

Tindakan itu diambil selepas badan pengelola liga tersebut enggan memberikan lesen kebangsaan buat kelab Utara tanah air berkenaan yang menyaksikan mereka tidak berada dalam kelompok 14 pasukan yang menerimanya.

Ini merupakan satu berita amat mendukacitakan buat peminat skuad The Bos Gaurus (TBG) yang tidak dapat menyaksikan pasukan kesayangan mereka itu dalam divisyen teratas bola sepak tanah air bagi kempen 2025/26.

BACA LAGI: 'Luka yang melukakan', skil Milunovic, kesilapan Shivan punca Perak FC biar Sang Penyu curi mata

BACA LAGI: Shivan mahu Perak teruskan mentaliti 'giant killer' ketika bertemu JDT

Perak FC tidak berada dalam senarai kelab yang menerima lesen kebangsaan daripada MFL.

Tetapi, ibarat kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul apabila nasib dialami Perak FC lebih membebankan pemain dan pihak kejurulatihan yang pasti runsing memikirkan masa depan masing-masing.

Antaranya, tonggak utama pertahanan pasukan, Shivan Pillay yang perlu mencari kelab baharu demi memastikan potensi dimilikinya tidak disia-siakan selepas bersinar buat skuad TBG.

"Agak mengecewakan kerana sudah dua musim bersama Perak FC, hubungan kekeluargaan dalam pasukan cukup bagus di sana, tetapi apa boleh dibuat kerana mereka tidak akan bersaing dalam Liga Super.

"Jadi, saya ada beberapa tawaran dalam kalangan kelab Liga Super dan rundingan sedang dijalankan. Saya harap ia berjalan lancar dan boleh terus beraksi dalam Liga Super lagi," katanya kepada Majoriti.

Shivan sudah semakin matang selepas dua musim menjadi watak utama skuad TBG. Facebook/Perak FC

Bek tengah berusia 24 tahun itu menyertai skuad TBG dari Petaling Jaya (PJ) City FC pada 2023 dengan keputusan tersebut menyaksikannya kian matang di bawah kendalian Datuk Lim Teong Kim dan Yusri Che Lah.

Meskipun tidak lari daripada melakukan kesilapan, Shivan masih menjadi nadi utama pertahanan pasukan apabila merekodkan 55 penampilan dalam semua pertandingan buat kelab berkenaan.

Peluang kerap disajikan membolehkan anak jati Kuala Krai, Kelantan tersebut mempamerkan potensi di atas padang dengan kelab-kelab tempatan pasti tertarik untuk menawarkannya kontrak.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai situasi sebenar dialami, Shivan menyatakan perasaannya amat kecewa selepas dijanjikan jalan penyelesaian oleh pihak pengurusan pada pertengahan musim 2024/25.

"Pihak atasan pernah menjanjikan pada September dengan mengatakan gaji penuh akan mula dibayar bermula Januari. Tetapi, saya kesal kerana mereka tidak mengotakan janji tersebut. Sehingga kini, masih tiada perkembangan positif, tetapi kami masih mengharapkan yang terbaik.

"Saya pernah berbincang dengan Kenny (Pallraj) kerana dia juga pernah lalui isu sama bersama Perak sebelum kehadiran pemilik ketika ini. Nasihat diberikan adalah supaya pemain, kakitangan dan pasukan supaya terus menyokong antara satu sama lain seperti sebuah keluarga," katanya.

Pemilik Perak FC, XOX Pro Sport Sdn Bhd sebelum ini menyatakan pelaburan mencecah RM30 juta dalam tempoh tiga tahun tidak cukup untuk menampung kos operasi dan pengurusan.

Kesukaran tersebut sekali gus menyaksikan skuad TBG gagal memperolehi lesen kebangsaan bagi kempen 2025/26 dengan MFL menyatakan keputusan tersebut diambil kerana kriteria kewangan gagal dipenuhi.

Namun, peminat bola sepak di negeri tersebut masih boleh menyaksikan pasukan mereka berentap apabila Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengambil inisiatif menghantar wakil ke Liga A1 Semi Pro musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram