Perlu ada ‘guideline’, Zainal Abidin sokong MFL ubah kuota import


  • Podium
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Kuota pemain asing di atas padang dikurangkan kepada enam pemain. — Facebook/JDT

BARU-BARU INI,  Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pindaan peraturan pemain asing Liga Malaysia 2025-2026 yang menyaksikan kuota pemain asing di atas padang dikurangkan kepada enam pemain berbanding tujuh pemain seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Perubahan dilakukan oleh penganjur saingan Liga Malaysia (Liga M) itu disokong oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Zainal Abidin Hassan menyambut baik langkah MFL untuk membuat perubahan terhadap kuota pemain import dalam saingan liga tempatan.

Menurut Zainal Abidin, perubahan tersebut membuka lebih banyak ruang kepada pemain tempatan untuk menyerlah dan memperkukuh kedudukan mereka dalam pasukan masing-masing.

BACA LAGI: Orang kuat Terengganu, NSFC yakin pengurangan kuota import bonus buat bintang lokal

BACA LAGI: Kuota 15 import: Ejen paling gembira boleh buat duit tapi pasukan berisiko membazir

“Bagi saya, memang wajar untuk MFL membuat sedikit perubahan di sini. Ini akan memberi lebih banyak peluang kepada pemain tempatan untuk mendapat tempat,” katanya.

Zainal Abidin menegaskan bahawa meskipun peraturan sedia ada membenarkan pasukan mengambil lebih ramai pemain import, keutamaan perlu diberikan kepada kualiti pemain tersebut berbanding sekadar mengisi kuota.

“InshaaALLAH, kalau pada satu ketika nanti. Walaupun secara perundangan pasukan boleh ambil ramai pemain import, kita mesti ada satu guideline. Pemain import itu mestilah lebih baik daripada pemain tempatan.

“Perubahan walaupun hanya melibatkan satu pemain import, sudah memberi satu peluang yang amat berharga untuk pemain tempatan mengisi kekosongan itu,” katanya. 

Zainal Abidin ditemui selepas Majlis Perjanjian Kerjasama Strategik antara FAM dan Bank Islam 2025-2027 di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau yang juga legenda bola sepak negara menekankan bahawa keseimbangan antara keperluan pasukan untuk bersaing dan pembangunan bakat tempatan perlu sentiasa dijaga.

Beliau percaya, melalui perancangan strategik seperti itu dan dengan sokongan semua pihak, bola sepak Malaysia akan terus melahirkan lebih ramai pemain berkaliber yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Sebelum ini, hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL ke-14 Bagi Penggal 2021-2025 selepas mengambil pertimbangan semula impak kepada Liga Malaysia dan juga perkembangan pemain tempatan.

"Berdasarkan pindaan terbaharu itu, kuota pemain asing di atas padang adalah seramai 6+3 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+1 Asean berbanding sebelum ini 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+2 Asean.

"MFL percaya kehadiran pemain asing akan meningkatkan daya tarikan serta saingan dalam Liga Malaysia namun dalam masa yang sama perkembangan pemain tempatan juga menjadi agenda utama MFL untuk membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkasakan skuad Harimau Malaya.

"Malah pandangan kelab-kelab juga diambil kira dalam keputusan pindaan ini di mana mereka berpendapat kehadiran lebih ramai pemain Asean tidak memberi banyak impak kepada prestasi pasukan," tulis MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram