[VIDEO] Jagalah kebajikan, Indra Putra selari hasrat penyokong mahu kebangkitan bola sepak Kelantan


  • Podium
  • Rabu, 11 Jun 2025

Indra Putra berharap agar semua pasukan dari Kelantan yang menyertai saingan Liga Malaysia musim depan memastikan kebajikan pemain dijaga dengan sebaiknya. — Agensi

LEGENDA bola sepak tanah air, Indra Putra Mahayuddin menyeru agar semua pasukan dari Kelantan yang menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan memastikan kebajikan pemain dijaga dengan sebaiknya.

Menurut Indra, perkara itu merupakan perkara asas yang perlu diberi perhatian sekiranya mana-mana pasukan mahu bersaing secara kompetitif dan berterusan dalam liga profesional.

"Harapan utama saya adalah agar kebajikan pemain sentiasa dijaga. Mereka menjadikan bola sepak sebagai sumber rezeki dan tanpa gaji yang tetap sukar bagi mereka untuk terus beraksi secara profesional," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

BACA LAGI: Kalau ada peluang, saya mahu melatih Selangor FC — Honda

BACA LAGI: 'Saya tak peduli', Kinoshi enggan layan dakwaan Safuwan 'dibuang' Selangor FC

Legenda Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kiri) berharap agar pihak pengurusan kelab memastikan kebajikan pemain sentiasa terjaga.

Kenyataan itu hadir susulan perkembangan positif di negeri Cik Siti Wan Kembang, apabila tiga kelab dari Kelantan dijangka tampil dalam saingan Liga M musim hadapan.

Tiga pasukan itu termasuklah Kelantan Red Warriors FC, Kelantan Darul Naim FC dan Kelantan WTS FC, masing-masing bakal beraksi di Liga Super dan Liga A1 Semi Pro.

Indra yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga M menegaskan bahawa kemunculan semula pasukan-pasukan Kelantan dalam liga utama adalah peluang terbaik untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negeri tersebut.

Namun, katanya, perkara itu hanya boleh dicapai sekiranya semua pihak termasuk pengurusan dan penyokong bersatu hati dan menyokong tanpa prejudis terhadap nama atau latar belakang kelab.

“Tak perlu pilih-pilih nak sokong pasukan mana. Kita semua adalah satu Kelantan. Kita perlu bersatu dan menyokong semua wakil negeri, tanpa mengira nama kelab atau siapa pengurusnya,” ujarnya.

Indra turut mengulas sambutan luar biasa yang diberikan penyokong Kelantan baru-baru ini ketika perlawanan persahabatan antara Regles All-Stars yang dibarisi legenda-legenda negeri itu menentang kelab selebriti, Carabat FC milik Sharnaaz Ahmad.

Perlawanan tersebut, yang menyaksikan kehadiran hampir 15,000 penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan menyaksikan kemenangan 1-0 berpihak kepada wakil Kelantan hasil jaringan Wan Zaharul Nizam.

Bagi Indra, sambutan itu membuktikan bahawa penyokong Kelantan masih menyimpan rindu terhadap era kegemilangan The Red Warriors (TRW) khususnya pada 2012, musim bersejarah yang mana pasukan itu menjulang treble iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia di bawah kendalian Bojan Hodak.

“Saya percaya penyokong Kelantan masih punya semangat dan minat yang tinggi. Mereka sebenarnya merindui kemenangan, sorakan dan semangat kebersamaan seperti zaman dahulu.

"Ini satu petanda positif. Saya harap kita semua dapat bersama-sama menghidupkan kembali era kegemilangan bola sepak Kelantan,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram