
DALAM kehangatan sorakan dan semangat pertandingan, acara sukan antara sekolah-sekolah Ulu Sugut, Ranau, Sabah menyaksikan bukan sahaja persaingan sengit tetapi juga detik penuh emosi yang mengangkat nilai sebenar kesukanan.
Tatkala kuartet pelari SK Kaingaran mencuri tumpuan dengan 'epic comeback' yang mendebarkan hingga berjaya mendahului pasukan lain di garisan penamat, sorakan para penonton menggema memenuhi padang.
Namun di sebalik kegemilangan itu, satu kisah luar biasa yang lebih menyentuh jiwa berlaku, sebuah cerita tentang keberanian, tekad dan kasih seorang guru terhadap anak muridnya.
BACA LAGI: Bukan saja JDT-Selangor, Sabah FC, Jang Hobin antara ‘sparring’ berkualiti kelab luar
BACA LAGI: Mula tunjuk belang, import Terengganu antara 3 rekrut sudah ledak gol pertama
Ketika semua pasukan sudah menamatkan larian, perhatian beralih kepada satu pasukan yang masih berjuang.
Di celah riuh rendah, kelihatan seorang pelari cilik dari SK Gusi, sebuah sekolah kecil dari pedalaman Ulu Sugut sedang berlari sendirian menuju garisan penamat.
Badannya kecil, mungkin hanya murid Tahun 3, tetapi semangatnya luar biasa besar. Tanpa keluhan, dia terus melangkah, jelas terpancar di wajahnya bahawa ini bukan soal menang atau kalah.
Baginya, itu bukan soal tanggungjawab tapi maruah pasukan yang pastinya dia tidak mahu mengecewakan sesiapa pun yang percaya padanya.
Ketika langkahnya mulai perlahan, satu momen yang menyentuh hati berlaku, Guru Besar SK Gusi iaitu Fadzul Shemorey Julai Salim, bangkit dari tempat duduk, melangkah ke dalam padang dan berlari bersama anak didiknya.
Tindakan spontan itu disambut dengan tepukan gemuruh seluruh penonton yang berdiri memberi penghormatan. Dengan mata berkaca, beliau membisikkan ke telinga anak muridnya, 'kamu tidak akan berjuang keseorangan'.
Peristiwa itu menjadi simbol sejati kepada makna kesukanan, semangat, keberanian, sokongan dan kasih sayang yang melangkaui batas formaliti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram