Bekas penyerang Pahang, tonggak berpangkalan di Jerman antara 4 pemain ‘otw’ ke Brunei


  • Podium
  • Ahad, 06 Jul 2025

Sean (kanan) dalam misi mencari pasukan baharu untuk musim 2025/2026. — Facebook/SriPahang

MENJELANG Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026 yang akan berlangsung pada Ogos ini, arena bola sepak serantau kembali meriah dengan berita sekumpulan pemain Malaysia kini sedang dalam perjalanan ke Brunei.

Difahamkan empat pemain berkenaan akan menyertai sesi pemilihan bersama kelab negara tersebut iaitu DPMM FC berikutan pasukan itu akan bersaing dalam saingan tempatan pada musim baharu nanti.

Menerusi perkongsian pemerhati bola sepak tempatan, T. Avineshwaran, difahamkan bahawa empat pemain tempatan telah dikenal pasti sebagai antara yang terlibat dalam ujian tersebut.

BACA LAGI: Tak sempat jumpa anak sulung, pemain bola sepak Palestin maut akibat serangan peluru berpandu Israel

BACA LAGI: Bola sepak bukan sekadar skil tetapi, set minda, sikap, disiplin dan pendidikan

Antara nama yang disebut ialah pemain sayap Sri Pahang FC, Sean Selvaraj, R. Kogileswaran (bekas perancang tengah kebangsaan), Annil Vigneswaran (bek tengah) dan V. Ruventhiran iaitu bek sayap kiri dari Selangor FC.

Selepas Pahang tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Super, Sean terus mencuba nasibnya untuk mendapatkan kelab dengan sebelum ini dia juga dikaitkan dengan sebuah kelab berpangkalan di Pantai Timur.

Kogileswaran pula pernah membuat sensasi apabila pernah mengambil keputusan untuk berkelana ke Korea Selatan dengan menyertai Chungbuk Cheongju di divisyen keempat pada musim 2023.

Manakala, Annil pula menandatangani kontrak setahun bersama pasukan di divisyen tiga Bundesliga Jerman iaitu Waldhof Mannheim pada musim 2023. Sebelum ini, Annil juga pernah bermain untuk pelbagai pasukan liga bawahan di Belanda dan Jerman sejak berusia 15 tahun.

Ruventhiran yang kini bersama Selangor FC pula mengalami dua musim hambar bersama Selangor susulan pemain berusia 23 tahun hanya merekodkan 17 penampilan selepas hampir tiga tahun bersama.

Keempat-empat pemain ini dilihat memiliki pengalaman luas di pentas tempatan dan antarabangsa serta berpotensi besar untuk menyertai skuad kendalian kelab Brunei berkenaan.

Menurut hantaran dari Avineshwaran, DPMM FC merancang untuk menyerap sehingga 10 pemain baharu melalui proses percubaan ini sebagai sebahagian daripada perancangan memperkukuh skuad mereka bagi musim akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram