
SESIAPA yang lahir tahun 90-an pasti mengenali siri anamasi popular suatu ketika dahulu iaitu Anak-Anak Sidek, menceritakan mengenai kehidupan enam adik-beradik kelahiran Banting, Selangor.
Ia bukan sekadar kartun animasi untuk kanak-kanak tetapi menceritakan mengenai kisah-kisah kehidupan mereka khususnya lima anak lelaki Sidek iaitu Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid sebelum menjadi pemain badminton ternama negara.
Kisah yang penuh inspirasi dari lima beradik berkenaan menjadikan mereka sebagai contoh terbaik bagi sesiapa yang mahu membentuk anak-anak menceburi bidang sukan hingga berjaya.
BACA LAGI: [VIDEO] Dipuji lemah lembut, A’mmarul Shafiq sangkal stereotaip karakter 'fighter’ mestilah bengis
BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum 'musnahkan' Jordan Boy, A’mmarul Syafiq rupanya tahan sakit cedera
Menariknya, keluarga di Gombak, Selangor juga boleh dikatakan seperti keluarga Sidek namun dengan sukan berbeza. A’mmarul Shafiq Ubaidillah dan empat adik-beradiknya bukan menguasai gelanggang badminton tetapi pentas seni bela diri.
Nama petarung muda negara, A’mmarul meniti di bibir penyokong Malaysia dan Indonesia selepas menewaskan atlet Muay Thai berpengalaman iaitu Jordan Boy dalam aksi penuh drama pentas Byon Combat 5 di Jakarta, Indonesia pada Ahad.
A’mmarul berkongsi kisah luar biasa keluarga atletiknya apabila sejak kecil, dia sudah diasuh di dalam gimnasium oleh ayahnya sendiri, yang juga jurulatih utama kepada kesemua adik-beradik tersebut.
"Saya masih percaya jurulatih terbaik adalah ayah sendiri. Dia ada individu yang bersama sejak hari pertama. Tiada orang lain lebih mengenali kita daripada ayah sendiri.
"Seperti kita lihat banyak atlet-atlet ternama dilatih oleh ahli keluarga sendiri. Macam dia macam contoh Khabib Nurmagomedov macam mana dia boleh jadi undefeated dekat UFC sebab ayah dia yang latih.
"Datuk Nicol David, ratu squash dunia juga dilatih ayah dia dan kita ada adik-beradik Sidek, legenda badminton negara juga mendapat latihan daripada ayah mereka. Jadi, saya percaya ayah merupakan jurulatih terbaik," katanya kepada Majoriti.
Ayahnya, Ubaidillah (kanan) merupakan bekas ahli bina badan.
Pandangan itu dikeluarkan A’mmarul selepas ada penyokong menyarankan untuk dia mendapatkan dengan jurulatih luar bagi menambah baik kemahirannya. A’mmarul tidak menolak namun saat ini, dia masih percaya sentuhan Ubaidillah.
Menurut A’mmarul, hubungan rapat dengan ayahnya memberi kelebihan unik dalam latiha walaupun masih merasa gementar setiap kali berlatih di bawah pantauan ayahnya, perasaan itu menjadi pencetus prestasi terbaiknya.
"Sejujurnya, bila ayah yang melatih saya, dia akan sentiasa bantu saya ke tahap maksimum. Dan saya memang sentiasa rasa gementar bila bersama ayah, sampai sekarang pun masih rasa macam tu. Bila kita rasa gementar, kita akan beraksi pada tahap terbaik.
"Rasa nervous itu satu motivasi. Bila saya bayangkan ayah saya berada di dalam gelanggang semasa bertarung, semua ketakutan saya terhadap lawan hilang begitu saja," jelasnya.
A’mmarul bukan bersendirian dalam dunia seni bela diri khususnya Muay Thai. Adik-beradiknya iaitu Arysh Shaddad (18), Qhadra Dhalynna (18) Adhem Syf (14) serta Qharynna Dhaneen (12) masing-masing aktif dalam sukan dan seni bela diri.
A’mmarul dan adik beradiknya.
Arysh iaitu anak kedua keluarga itu disifatkan sebagai senior A’mmarul meskipun jarak usia mereka lima tahun kerana anak kedua daripada lima beradik itu memulakan latihan Muay Thai lebih awal.
Menariknya, A’mmarul menyifatkan adik-beradiknya sebagai sparring partner terbaik. Katanya, latihan dengan individu yang memahami, tinggal bersama dan boleh saling menolak had prestasi lebih memberi kesan berbanding jumlah rakan latihan yang ramai.
“Arysh dah mula Muay Thai lebih awal sebelum saya. Dia dah masuk empat tahun dalam bidang ini, saya baru empat tahun. Jadi masa awal-awal saya masuk dulu, saya banyak belajar teknik daripada dia. Tiada isu ego. Dia adik, tapi jadi cikgu saya juga.
"Kita tidak perlukan banyak sparring partner, bila kita ada sparring partner yang kita percayakan, ia lebih baik. Jika kita ada ramai sparring partner, kita tiada peluang nak baiki kelemahan.
"Bila dah kenal satu sama lain, kita tahu kelemahan dan kekuatan. Itu lebih efektif dari segi pembelajaran dan peningkatan," kongsi anak sulung itu.
Tak perlukan kem luar, Am'marul Shafiq hanya perlukan adik sebagai sparring partner dan sentuhan ayah sebagai coach. Hasilnya, tewaskan Jordan Boy di Byon Combat 5. pic.twitter.com/n4kyGYqEtJ
— rahmieeee (@rahmi_jono) July 3, 2025
Adhem pula kini memegang ranking pertama Malaysia dalam kategori 45kg Muay Thai bagi peringkat remaja. Manakala, Qhadra baru memulakan perjalanan mereka dalam sukan tempur dan Karina lebih cenderung ke arah gimnastik dan akrobatik.
Dalam pada itu, setelah menewaskan idolanya pada Byon 5, A’mmarul akan menentang petarung berpengalaman dari Indonesia iaitu Serial Effendy dalam Byon Combat 6 pada November nanti.
Untuk rekod, A’mmarul sudah meraih beberapa gelaran kejayaan sehingga peringkat antarabangsa seperti juara dunia IFMA Grand Slam (2022), lima kali juara kebangsaan muay thai dan dua kali juara Kickboxing kebangsaan serta beberapa lagi kemenangan dalam pelbagai kejohahan yang disertai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram