
PENGERUSI Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan bahawa setiap pasukan yang ingin mendaftarkan pemain import bagi saingan musim ini diwajibkan menyediakan deposit tiga bulan gaji sebagai jaminan kewangan.
Menurut beliau, langkah itu diambil bagi memastikan komitmen pasukan dalam aspek pembayaran gaji kepada pemain import dan sekali gus mengurakan berlaku masalah kewangan di kemudian hari.
BACA LAGI : Safawi Rasid sah ke KL City, Manuel Ott turut dipetik sekali
BACA LAGI : [VIDEO] Dipuji lemah lembut, A’mmarul Shafiq sangkal stereotaip karakter 'fighter’ mestilah bengis
"Dulu kita (AFL) minta deposit (gaji) enam bulan kepada kelab tetapi untuk musim ini kita kurangkan kepada tiga bulan kerana kita faham tekanan kewangan pasukan.
“Namun, deposit tiga bulan itu wajib dan mesti disediakan sebelum pendaftaran pemain dapat dilakukan,” kata Yusoff ditemui pada sidang media selepas majlis Pelancaran Bola Rasmi dan Taklimat Liga A1-Semi Pro di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor pada Rabu.
Tambah beliau, keperluan berkenaan juga selaras dengan peningkatan nilai dan permintaan pemain import selepas liga dibuka lebih luas kepada pemain asing yang tidak lagi terikat dengan syarat umur tertentu.
“Kita jangka harga pemain import mungkin akan lebih tinggi. Jadi AFL perlu satu jaminan kukuh agar tiada masalah tunggakan gaji berlaku. Kalau tiada deposit, kita tidak akan benarkan pendaftaran dilakukan,” jelasnya.
Musim ini menyaksikan sebanyak 16 pasukan bersaing dalam Liga A1 Semi Pro dan kesemuanya dibenarkan mendaftarkan sehingga tiga pemain import, satu langkah strategik dalam meningkatkan daya saing dan mutu liga.
Langkah AFL itu turut dilihat sebagai usaha memperkukuh pengurusan kewangan dan profesionalisme dalam kalangan pasukan, sejajar dengan matlamat jangka panjang untuk melahirkan kelab yang mampan serta kompetitif di peringkat lebih tinggi.
Pada masa sama, Yusoff Mahadi memberi amaran tegas bahawa mana-mana pasukan dalam saingan Liga A1 Semi Pro yang berdepan isu tunggakan gaji pada musim ini tidak akan dibenarkan menyertai liga tersebut pada musim akan datang.
Menurut Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tindakan tegas itu bertujuan memastikan kredibiliti dan profesionalisme liga terus terpelihara, seiring dengan matlamat AFL untuk menaikkan mutu pengurusan pasukan di peringkat semi profesional.
“Kita tidak mahu kes ini berlarutan jadi untuk musim depan, pasukan yang ada rekod tidak bayar gaji ini akan dikeluarkan secara automatik. Kita tidak akan pertimbangkan lagi pasukan seperti ini untuk bermain dalam liga.
“Kita faham isu ini sudah bertahun-tahun berlaku jadi kita harap kita dapat letakkan titik noktahnya pada tahun ini. Kita mengingatkan semua pasukan supaya mereka bersedia untuk menerima hukuman kalau mereka tidak dapat melunaskan gaji ini secara tepat,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram