
PEMINAT sukan ragbi tempatan sudah tentu tidak asing dengan saingan Corporate Super Rugby (CSR) berformatkan pertembungan 15 sebelah yang sudah diadakan sebanyak tiga edisi.
Namun, saingan kali ini membawa kelainan kerana dalam perlawanan akhir yang bakal berlangsung pada Sabtu depan, kedua-dua finalis hadir dengan reputasi cukup baik sepanjang tahun.
Juara bertahan dua kali, Muamalat Bullets bakal berdepan MBDK Royal Town Warriors dalam aksi dijadualkan di Padang Sultan Suleiman, Klang, Selangor pada pukul 9 malam.
BACA LAGI: [VIDEO] Atlet ragbi SUKMA Johor angkat besi lengkap berbaju kurung tarik perhatian, kembali tular
BACA LAGI: Pegang reputasi antara skuad ragbi terunggul tanah air, Muamalat Bullets buru kejuaraan hatrik
Saingan CSR yang sudah berlangsung sebanyak tiga edisi meningkatkan mutu sukan ragbi dalam dunia korporat.
Mereka yang pernah bertembung di pentas akhir pada edisi sulung lebih dua tahun lalu sudah tentu akan menjanjikan persembahan terbaik, lebih-lebih lagi buat MBDK selepas dikecewakan sebelum ini dengan keputusan 13-18.
Pengarah Kejohanan CSR, Shahrizin Shaharudin memuji kehebatan berterusan Muamalat Bullets sambil menyifatkan mereka sebagai 'JDT ragbi Malaysia' dengan ia menggambarkan dominasi profesional dan reputasi mereka dalam membina jenama ragbi korporat disegani.
“Bullets bukan sekadar menang — mereka membina sistem, budaya, dan kesinambungan. Mereka menetapkan standard baru. Tapi Warriors bukan calang-calang pasukan. Di Klang, dengan sorakan penyokong tegar di belakang mereka, segalanya boleh berlaku," katanya.
Dalam perlawanan akhir kali ini, Muamalat Bullets tampil dengan rekod cukup baik dengan rekod tanpa kalah sepanjang musim selain memiliki barisan pemain elit dan staf kejurulatihan berpengalaman.
MBDK Royal Town Warriors melangkah ke final CSR dua edisi lalu, namun dikecewakan Muamalat Bullets.
Penolong pengurus, Adam Abdullah berkata, pasukan yang berjaya mendominasi kejohanan tersebut tampil penuh keyakinan dengan menegaskan bahawa matlamat mereka adalah untuk menamatkan musim dengan kejayaan ‘hattrick’.
“Kami tahu apa yang kami kejar. Segala persiapan telah dilakukan dengan teliti dan pemain berada dalam kondisi mental yang terbaik. Kami datang ke sini untuk cipta sejarah dan menjulang kejuaraan ketiga berturut-turut adalah misi utama kami,” katanya.
Namun, reputasi membanggakan dimiliki Muamalat Bullets itu tidak mematahkan semangat pihak lawan yang percaya mereka tampil dengan kelainan tersendiri bagi perlawanan cukup dinanti-nantikan tersebut.
Shahizam (kanan) yakin kelebihan tuan rumah memberi peluang buat MBDK Royak Town Warriors mencipta kejutan.
Pengurus MBDK Royal Town Warriors, Shahizam Tukiran, kelebihan sebagai tuan rumah selain kebersamaan komuniti Klang untuk memberi sokongan bakal menjadi pemangkin kejayaan.
“Kami sudah lama menunggu detik ini. Pasukan ini dibina dengan jiwa Klang. Sabtu ini, kami bukan sahaja bertarung untuk kemenangan, tetapi untuk maruah dan kebanggaan ‘Royal Town’,” ujarnya.
Selain kejuaraan berprestij, pasukan juara CSR 2025 akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 manakala naib juara akan menerima RM7,000 yang merupakan satu bentuk ganjaran mencerminkan pertumbuhan signifikan sukan ragbi dalam sektor korporat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram