Kiper negara ‘mendonia’, bantu kelab muncul juara liga Albania


  • Podium
  • Selasa, 20 Mei 2025

Azurin (hijau) menampilkan aksi cemerlang di Eropah selepas turut menimba pengalaman di beberapa negara lain. — Facebook/Azurin Mazlan

REPUTASI penjaga gol Malayan Tigress, Azurin Mazlan tidak perlu diceritakan lagi kerana sepanjang kariernya, dia sudah beberapa kali ke luar negara demi meraih minit permainan kompetitif lebih kerap.

Dia yang baru berusia 25 tahun pernah beraksi di India bersama FC Misaka United sebanyak dua kali dengan keputusan untuk ke negara tersebut menyajikan peluang baginya mencipta keyakinan diri.

Hasil daripada perpindahan itu dapat dinilai selepas penjaga gawang berkenaan beraksi cemerlang dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN) serta Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) buat Sabah FA bagi kempen 2024/25.

BACA LAGI: [VIDEO] Harumkan nama negara di Liga Albania, aksi Azurin Mazlan 'save' penalti raih perhatian ramai

BACA LAGI: Permata Pahang mahu ikut jejak Azurin, tunggu khabar dari Indonesia, Thailand dan Singapura 

Azurin pernah beraksi buat skuad wanita Sang Badak sebelum berkelana ke Eropah. Facebook/Azurin Mazlan

Meskipun belum cukup untuk membawa kelab Borneo tanah air itu ke tahap lebih tinggi, ia sekurang-kurangnya memberikan pengalaman berharga buat pemain tempatan selain membuka mata pihak pengurusan dalam negara untuk mengembangkan lagi saingan bola sepak wanita.

Perjalanan karier buat Azurin tidak terhenti di situ kerana selepas kempen di pentas Asia, dia memilih untuk berkelana ke Eropah untuk menyertai pasukan Albania, KFF Vllazina pada awal tahun lalu.

Keputusan untuk negara kerdil tersebut pada awalnya menimbulkan persoalan kerana orang ramai khuatir sekiranya karier pemain tersebut akan terencat kerana sukar meraih minit permainan kompetitif.

Bagaimanapun, anak jati Klang, Selangor itu tampil menepis pandangan serong tersebut apabila baru-baru ini, dia membantu pasukan berkenaan menjuarai liga wanita, Superiora Femra di Albania.

Pencapaian membanggakan tersebut membuatkan peminat bola sepak lokal menyedari bahawa langkah dan perancangan diambil Azurin tidak pernah mengecewakan kerana dia kini sudah di tahap baharu.

Azurin membantu kelabnya menjuarai Liga Albania yang sekali gus membawa mereka ke pentas UWCL. Facebook/Azurin Mazlan

"Azurin akan menjadi pemain wanita pertama yang bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara Wanita UEFA (UWCL) selepas Dion Cools beraksi dalam pertandingan edisi lelaki," kata Shah Boy Lai Lai.

"Ini yang patut diraikan kalau dia pulang ke negara nanti. Walaupun liga biasa-biasa sahaja tetapi boleh jadikan mereka juara. Tahniah anak muda," kata Zul J Daniel.

"Pertama kali nampak pemain bola sepak negara jadi juara di bumi Eropah, mantaplah Azurin. Lama-lama nanti akan jadi rebutan kelab-kelab sekitar Eropah pula," kata Abdul Aziz Balanar.

Selain Azurin, seorang lagi pemain iaitu Nurqaseh Rania juga bakal beraksi di benua berkenaan apabila dilaporkan sedang dalam proses menyertai skuad Bawah 17 Tahun (B-17) VfL Wolfsburg.

Ini membuktikan bahawa bintang bola sepak wanita negara mampu melakar sejarah dan nama sendiri di Eropah dengan harapan pemain lelaki juga akan berbuat demikian sekiranya terdapat tawaran berbaloi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram