
JENAYAH melibatkan senjata api semakin kerap disaksikan orang ramai kebelakangan ini sehingga mencetuskan kegusaran dalam masyarakat yang mahu pihak berkuasa mengambil langkah lebih proaktif.
Baru-baru ini, orang ramai dikejutkan lagi apabila sebuah video memaparkan pergaduhan jalan raya sehingga menyaksikan salah seorang mengacu sepucuk pistol.
Dalam satu video berdurasi kurang dari dua minit, kelihatan dua individu bertikam lidah dalam sebuah kejadian dilaporkan berlaku di Taman Desa, Kuala Lumpur pada Rabu.
BACA LAGI: Tiada laporan polis dibuat, kucing mati di UM dipercayai diserang haiwan liar — Polis Brickfields
BACA LAGI: [VIDEO] Berang kena saman, model wanita maki polis di Brickfields
Kekecohan bagaimanapun tidak berlarutan apabila orang ramai yang menggunakan jalan raya tersebut sempat meleraikan situasi daripada terus menjadi tegang dan menjadi tidak terkawal.
Malah, dalam perkembangan terbaru, polis sudah berjaya menahan dua suspek yang bertindak mengacu senjata api tersebut selepas mangsa berusia 28 tahun melaporkan insiden berkenaan.
Difahamkan, pertelingkahan kedua-dua pihak berlaku selepas dua suspek yang masing-masing berusia 19 dan 27 tahun melanggar Honda City dipandu mangsa sehingga menyebabkan kerosakan cermin sisi kanan pada kira-kira pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, hasil siasatan mendapati senjata berkenaan merupakan pistol tiruan yang dibeli melalui aplikasi TikTok dan dimiliki salah seorang suspek.
"Pertengkaran antara kedua-dua pihak tercetus dan suspek yang memandu Toyota Yaris didakwa mengeluarkan sepucuk pistol berwarna hitam sebelum mengacukannya ke arah mangsa,” katanya.
"Kedua-dua suspek direman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram