[VIDEO] Berang kena saman, model wanita maki polis di Brickfields


  • 112
  • Jumaat, 28 Jul 2023

Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan wanita tersebut yang tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis di lokasi kejadian.

AKIBAT tidak berpuas hati dikenakan saman oleh pihak berkuasa, seorang model wanita bertindak mengamuk dan menghambur kata-kata kesat kepada anggota polis dalam satu insiden yang berlaku di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.

Video mengenai kejadian tersebut tular di aplikasi TikTok sejak Khamis memaparkan perbuatan wanita tersebut yang dilihat mempersoalkan tindakan beberapa anggota polis yang sedang bertugas di lokasi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan mendapati suspek berusia 30-an itu berang kerana disaman dengan kesalahan memandu menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang.

“Kejadian provokasi terbabit dikatakan berlaku pada pukul 3.40 petang Isnin lalu dan sehingga kini, video terbabit masih boleh diakses serta mempunyai 274 perkongsian di Facebook dan 5,414 perkongsian di TikTok dikhuatiri boleh menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugasnya, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, berdasarkan video tular tersebut, wanita berkenaan dilihat meninggikan suara dan mempersoalkan tindakan salah seorang anggota polis yang merakam video insiden terbabit.

Pada masa sama, seorang anggota polis juga dilihat sedang menulis surat saman yang dipercayai dikeluarkan kepada wanita tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram