Baru kahwin tak sampai 2 minggu, mendiang Diogo Jota tinggalkan kekasih zaman sekolah, 3 cahaya mata


  • Podium
  • Khamis, 03 Jul 2025

Diogo Jota (kanan) memilih untuk mendirikan rumahtangga bersama pasangannya itu selepas bertahun-tahun membina hubungan.

PEMERGIAN bintang Liverpool, Diogo Jota yang maut akibat kemalangan jalan raya di Zamora, Sepanyol pada Khamis sememangnya mengejutkan peminat bola sepak antarabangsa.

Dia yang baru sahaja menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25 bersama skuad The Reds dilaporkan berada dalam kereta bersama adiknya, Andre yang terbabas sekitar A-52 berhampiran Palacios de Sanabria.

Kisah duka itu sememangnya mengejutkan peminat kerana penyerang antarabangsa Portugal terbabit berada di kemuncak karier dengan khidmatnya akan terus ditagih Liverpool untuk musim-musim akan datang.

BACA LAGI: Liverpool berduka, Diogo Jota terbunuh nahas jalan raya tragis ketika usia 28 tahun

BACA LAGI: Lepas Diogo Jota, bintang Belanda optimis Salah tak salah 'cop mati' bersama Liverpool

Jota baru sahaja menamatkan musim sukses dalam saingan EPL bersama Liverpool. Agensi

Malah, lebih menyedihkan lagi, Jota yang berusia 28 tahun baru sahaja mendirikan rumahtangga bersama pilihan hati, Rute Cardoso yang sudah bersama bintang The Reds itu sejak sekian lama.

Hubungan mereka difahamkan sudah terjalin sejak berada di bangku persekolahan yang sememangnya menceritakan kesetiaan mereka sebelum pertalian sah diwujudkan.

Dalam perkongsian terdahulu, pasangan tersebut sah berkahwin pada 22 Jun dalam majlis kecil-kecilan yang hanya dihadiri sahabat rapat dan keluarga dengan lokasi perkahwinan tidak dapat dipastikan.

Kedua-dua mereka sudah lama menjalinkan hubungan dengan pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata dengan Jota turut difahamkan mempunyai seorang lagi cahaya mata daripada hubungan terdahulu.

Namun, momen manis yang baru sahaja dibentuk itu akhirnya bertukar menjadi satu tragedi dengan isteri dan anak kepada mendiang pasti sukar menerima berita duka berkenaan.

Jota sememangnya kerap diangkat sebagai wira skuad The Reds kerana meskipun kerap mengalami kecederaan, dia kerap menjaringkan gol penting setiap kali diberi kepercayaan.

Malah, baru-baru ini, dia juga berada dalam skuad Portugal yang menjuarai Liga Negara-Negara UEFA dengan beraksi 15 minit dalam kemenangan ketika perlawanan akhir menentang Sepanyol. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram