SITUASI Mohamed Salah bersama Liverpool masih samar-samar kerana sehingga hari ini, penyerang sayap tersebut masih belum menandatangani kontrak lanjutan dengan kelab berkenaan.
Meskipun beberapa tawaran sudah dibuat pihak pengurusan, kapten skuad kebangsaan Mesir itu enggan menerimanya kerana dia masih mahu menerima gaji mencecah £350,000 (RM1.96 juta) seminggu berbanding £240,000 (RM1.35 juta) diterimanya ketika ini.
Permintaan itu sememangnya sukar untuk direalisasikan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan memandangkan usia pemain tersebut sudah mencecah 33 tahun dengan lanjutan terlalu panjang dikhuatiri akan merugikan.
BACA LAGI: 'Kita ada 1 misi', Gakpo mahu all-out lawan Man United demi gelaran liga
BACA LAGI: [VIDEO] Cubaan Gakpo lakukan 'diving' gagal perdaya pemain Manchester United
Jota (kiri) meluahkan harapannya untuk menyaksikan Salah kekal di Liverpool. — Agensi
Bagaimanapun, sekiranya kontrak itu tidak ditandatangani, Liverpool akan kehilangan khidmatnya secara percuma dengan perkara tersebut akan merugikan kerana nilai pasaran semasanya mencecah €55 juta (RM256.7 juta).
Selain itu, pemergian penyerang tersebut akan memberi impak terhadap kestabilan dalam bilik persalinan memandangkan kebelakangan ini, beberapa pemain sudah menyuarakan harapan untuk menyaksikannya musim depan.
Ini termasuk pemain antarabangsa Portugal, Diogo Jota yang membuat gurauan terbuka dengan mengatakan rakan sepasukannya itu perlu menerima pen dan kertas bagi sambutan Krismas untuk menandatangani kontrak baharu.
Permintaan itu disusuli seorang lagi bintang Liverpool, Cody Gakpo yang berasakan Salah bukan sahaja penjaring prolifik, namun kerap mencipta peluang yang pasti sukar untuk diulangi mana-mana pemain.
Gakpo (kanan) percaya sentuhan Salah di Liverpool musim ini sesuatu yang istimewa. — Agensi
"Apa yang kita saksikan ketika ini adalah sesuatu yang istimewa. Ia bukan sahaja mengenai jumlah jaringan dicatatkan, tetapi termasuk bantuan gol dicipta, cara permainan serta keserasian dalam pasukan.
"Saya harap untuk kami dan untuknya sendiri, dia akan terus berbuat demikian untuk satu tempoh lebih lama. Kami beruntung untuk memilikinya dan sebagai rakan sepasukan, kami akan terus membantunya menjadi lebih baik," kata pemain antarabangsa Belanda itu.
Sepanjang bersama-sama selama dua musim, Gakpo dan Salah sudah diturunkan bersama-sama sebanyak 85 kali dalam aksi kompetitif yang hanya mengukuhkan lagi hubungan mereka di atas padang.
Jadi, tidak hairanlah pemain berusia 25 tahun berkenaan akan mengharapkan Salah kekal untuk sekurang-kurangnya dua musim lagi berdasarkan tawaran yang dibuat pihak pengurusan Liverpool ketika ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram