
KEHADIRAN pemain warisan baharu ke skuad kebangsaan memberi impak positif kepada Harimau Malaya selepas kini Malaysia memimpin Kumpulan F dengan memungut enam mata penuh hasil mencatat kemenangan dalam dua perlawanan awal kempen kelayakan ini.
Kemenangan itu hasil dari ketibaan empat pemain baharu iaitu Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado, manakala Hector Hevel dan Gabriel Palmero memperkuatkan pasukan sejak Mac lepas.
Bagaimanapun, kehadiran enam pemain warisan itu mendapat kritikan daripada penyokong luar negara sehingga ada yang mendakwa semua tonggak berkenaan tidak mempunyai susur galur dengan tanah air.
BACA LAGI: ‘Pengalaman mendewasakan’, Cklamovski anggap Piala CAFA medan pamer karakter sebenar Harimau Malaya
BACA LAGI: Maaf Indonesia! Revolusi Harimau Malaya mula buahkan hasil, 'sparring' bertemu Iran-Uzbekistan
Menurut sesetengah penyokong khususnya pengikut bola sepak Vietnam dan Indonesia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didakwa sanggup menipu dalam urusan dokumentasi demi mendapatkan enam pemain warisan berkenaan.
Tidak cukup dengan itu, tuduhan terhadap bola sepak Malaysia semakin berat apabila media Indonesia melaporkan skuad kebangsaan dilarang mengikuti semua kejohanan antarabangsa sehingga 2027. Bermula dari kelayakan Piala Dunia 2026, Piala Asia 2027 dan Piala AFF 2026.
Memetik laporan cakaplah.com, sekatan berat terhadap Malaysia itu dibuat kerana melanggar peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung pemain warisan.
Tangkap layar artikel dikeluarkan cakaplah.com.
"Seperti yang dilaporkan di laman web rasmi FIFA dan AFC, Isnin (30/6/2025), Malaysia mesti menerima larangan bermain di semua kejohanan antarabangsa kerana melanggar peraturan pemain naturalisasi.
"Keputusan itu diumumkan serentak pada sidang media di ibu pejabat FIFA di Zurich dan di Kuala Lumpur pada 28 Jun 2025, berikutan penemuan pelanggaran dalam proses naturalisasi pemain keturunan Malaysia," dakwa portal berkenaan.
Selain itu, mereka juga mendakwa semua keputusan perlawanan yang melibatkan pemain warisan atau pemain keturunan haram akan terbatal dan FAM juga didenda USD 2 juta atau bersamaan RM9.5 juta.
Portal itu turut mendakwa Malaysia juga dilarang mengambil pemain berketurunan negara selama lima tahun, kecuali melalui proses pengesahan berganda yang telah diluluskan atau ditentukan oleh FIFA.
Pada Isnin, FAM mengesahkan pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat badan induk bola sepak negara itu.
"FIFA dan AFC meminta Malaysia mengaudit semula data semua pemain yang menjadi ahli Pasukan Kebangsaan Malaysia, termasuk mereka yang berada dalam struktur organisasi FAM.
"Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin diberhentikan secara tidak hormat bersama beberapa pegawai FAM yang lain," dakwa portal tersebut.
Artikel yang dikeluarkan cakaplah.com jelas hanya mahu mencetuskan kemarahan penyokong susulan tiada sebarang mesyuarat dijalankan di Zurich, Switzerland dan di Kuala Lumpur pada 28 Jun 2025.
Bukan itu sahaja, mereka juga masih menyangka Hamidin merupakan Presiden FAM sedangkan beliau merupakan Presiden Kehormat badan induk berkenaan. Kini, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub merupakan Presiden FAM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram