
NAMA petarung muda negara, A’mmarul Shafiq Ubaidillah meniti di bibir penyokong Malaysia dan Indonesia selepas menewaskan atlet Muay Thai berpengalaman iaitu Jordan Boy dalam aksi penuh drama pentas Byon Combat 5 di Jakarta, Indonesia pada Ahad.
Bukan hanya aksi pertarungan A’mmarul mencuri perhatian pada perlawananan berkenaan, malah karakter atlet berusia 24 tahun berkenaan juga mendapat pujian daripada pengikut sukan tempur di rantau ini.
Masakan tidak, A’mmarul menunjukkan karakter lemah lembut dari segi pertuturan dan sikapnya sehingga ruangan komen media sosialnya dihujani dengan pujian dan kata-kata positif dari penyokong. Ia berbeza dengan kebanyakan petarung yang membawa karakter bengis.
BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum 'musnahkan' Jordan Boy, A’mmarul Syafiq rupanya tahan sakit cedera
Atlet kelahiran Gombak, Selangor berkenaan menolak stereotaip bahawa seseorang atlet seni bela diri perlu kelihatan bengis sepanjang masa untuk dihormati.
Juara juara kebangsaan muay thai lima kali berkenaan menegaskan bahawa karakter luar gelanggang juga memainkan peranan penting dalam membentuk imej seorang petarung sejati.
"Saya tak sedar sebenarnya (lemah lembut), saya cuma jadi diri saya sendiri. Sama ada dalam atau luar gelanggang, beginilah saya seadanya.
“Kalau ada orang anggap saya lain daripada kebiasaan petarung yang ‘garang’, itu mungkin kerana mereka belum faham bahawa tidak semua pejuang perlu tampil bengis untuk menunjukkan kekuatan,” katanya kepada Majoriti ketika ditemui di Rockafella Gym And Fitness Centre, Gombak, Selangor.
Menurut juara dunia IFMA Grand Slam 2022 berkenaan, sikap bengis ada tempat dan waktunya dengan dia berpendapat bahawa ia sesuai jika digunakan dalam gelanggang, namun tidak di luar konteks.
“Kalau nak bengis sangat masa bertarung, itu boleh diterima. Tapi kalau di tempat tak kena seperti di majlis hari jadi, dalam kelas, atau di tempat awam, itu sudah tidak wajar. Kita kena pandai sesuaikan diri dengan situasi dan persekitaran,” katanya lagi.
A’mmarul turut berkongsi bahawa walaupun telah mencatat kemenangan besar dalam gelanggang, beliau kekal rendah diri dan tidak pernah merasakan dirinya hebat seperti tanggapan sesetengah orang.
Dua kali juara Kickboxing kebangsaan itu hanya menampilkan dirinya yang sebenar dan bersyukur serta berasa gembira kerana diterima oleh orang ramai. Dia berharap, melalui keperibadian dan karakter yang ditunjukkan, dirinya dapat menjadi contoh yang baik kepada generasi muda.
“Inilah diri Ammarul yang sebenar. Ammarul hanya menampilkan warna sebenar dirinya, dan beliau bersyukur serta berasa gembira kerana diterima oleh orang ramai. Ammarul juga berharap karakter yang ditonjolkan ini sedikit sebanyak dapat menjadi contoh yang baik kepada generasi muda.
“Tak perlu jadi terlalu agresif atau biadab. Saya percaya, kalau kita tunjukkan sikap baik, Tuhan akan permudahkan urusan kita dalam apa jua yang kita lakukan,” ujar A’mmarul.
Dalam pada itu, setelah menewaskan idolanya pada Byon 5, A’mmarul akan menentang petarung berpengalaman dari Indonesia iaitu Serial Effendy dalam Byon Combat 6 pada November nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram