
WALAUPUN sudah hampir seminggu berlalu, kemenangan pelumba berbakat negara, Qabil Irfan Azlan masih menjadi bualan dalam kalangan peminat sukan tanah air dengan video kemenangannya diulang-ulang di media sosial.
Qabil Irfan mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila meraih kemenangan bergaya dalam Perlumbaan 2 Pusingan Kedua Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol pada Sabtu lepas (22 Jun 2025).
Lebih manis, kejayaan itu membolehkan lagu Negaraku sekali lagi bergema di bumi Sepanyol selepas Qabil Irfan menamatkan perlumbaan yang berlangsung sengit dengan kelebihan hanya 0.01 saat (s) di hadapan pencabar terdekatnya, Nicola Miroslavov dari Bulgaria.
BACA LAGI: Berlatih tanpa henti, Qabil Irfan dedah faktor kejayaan di bumi Barcelona
BACA LAGI: Qabil mahu cipta rekod baharu, terharu terima anugerah khas MSN
Untuk info, biarpun disaing sengit lima pelumba namun anak jati Terengganu berkenaan tenang mengawal jenteranya untuk tiba di penamat dengan catatan 1:53.618 s.
Kejayaan tersebut merupakan gelaran ketiga buat pelumba berusia 13 tahun itu selepas menjuarai kedua-dua perlumbaan pusingan pertama di Litar Jerez pada Sepanyol April lalu.
Keputusan tersebut juga membaiki pencapaian Qabil Irfan yang muncul naib juara perlumbaan pertama pada malam Sabtu lepas (21 Jun 2025).
Pelumba yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly dalam kelas ESBK Talent itu bermula di petak kedua konsisten berada dalam kelompok lima terbaik.
Menariknya, kemenangan Qabil Irfan dalam kejohanan antarabangsa tersebut bukan sahaja mencetuskan rasa bangga dalam kalangan rakyat Malaysia, malah turut diraikan oleh masyarakat antarabangsa.
Momen bersejarah tersebut menyaksikan bukan hanya Jalur Gemilang berkibar megah di podium tertinggi, tetapi juga sorakan dan tepukan gemuruh daripada penggiat sukan dari luar negara.
Menerusi video tular detik kejayaan Qabil Irfan, beberapa orang luar negara atau dalam erti kata lain ‘Mat Saleh’ berdiri memberi penghormatan atas pencapaian luar biasa anak muda Malaysia itu.
“Detik Qabil Irfan menang dan membanggakan bukan setakat rakyat Malaysia tapi ‘Mat Saleh’ pun tumpang bangga,” tulis kapsyen pada video berkenaan.
Video tersebut memperlihatkan mereka yang dipercayai kakitangan pasukan diwakili Qabil Irfan memberikan reaksi penuh kagum dan semangat usai Qabil Irfan menamatkan perlumbaannya dengan bergaya.
Sebelum Qabil Irfan, seorang lagi pelumba muda membanggakan tanah air ialah Hakim Danish Ramli yang muncul juara pada Perlumbaan Dua pusingan ketiga Kejuaraan Red Bull Rookies Cup di Litar Aragon, Sepanyol pada 8 Jun lepas.
Selepas sekian lama mengidamkan podium pertama pada musim ini, Hakim Danish yang bermula di petak ketujuh, mempamer tunggangan cukup meyakinkan dan bersaing sengit dengan barisan pelumba lain sebelum meraih kemenangan cukup manis dengan catatan masa 26:52.773 s. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram