'Pengalaman, kredibiliti Hamidin jadi justifikasi pelantikan sebagai Presiden Kehormat'


  • Podium
  • Isnin, 30 Jun 2025

Hamidin kembali ke dalam barisan kepimpinan FAM selepas dilantik presiden kehormat organisasi tersebut. — Facebook/FAM

PADA Isnin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Pengerusi Kehormat selepas kira-kira setahun meninggalkan posisinya dalam badan induk bola sepak negara itu.

Keputusan itu diambil dengan presiden semasa, Datuk Joehari Mohd Ayob berkata, pengaruh dimiliki menjadi alasan untuk pelantikan itu dibuat, lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, seperti dijangkakan, peminat bola sepak tempatan sememangnya mempersoalkan langkah diambil FAM kerana masing-masing khuatir pelantikan tersebut membawa kerugian.

BACA LAGI: Hamidin sebagai Presiden Kehormat, FAM tegaskan tiada penindihan kuasa — Joehari Ayub

BACA LAGI: Pakar label Hamidin makin kurang popular untuk kekal jadi Presiden FAM

Pengaruh Hamidin di peringkat antarabangsa mampu menghadiahkan nilai tambah buat badan induk bola sepak negara itu. Facebook/FAM

Selain itu, pertikaian tersebut dibuat kerana semasa Hamidin memegang jawatan Presiden FAM sepanjang lapan tahun, terdapat pelbagai isu yang gagal diuruskan seperti mana diharapkan penyokong.

Pandangan serong itu bagaimanapun ditolak mentah-mentah oleh pemerhati bola sepak negara, Afiq Rowley yang menegaskan pengaruh dimiliki Hamidin akan membawa impak positif dalam FAM.

"Pada pandangan saya, ia lebih kepada pengalaman luas dimiliki Tan Sri. Walaupun ramai mengkritik dan beri pandangan negatif, pada pengamatan saya, beliau antara individu dalam negara yang mempunyai jaringan luas dalam dunia bola sepak," katanya kepada Majoriti.

Selain memikul jawatan Presiden FAM selama kira-kira dua penggal, Hamidin turut mempunyai pengaruh tersendiri di peringkat antarabangsa kerana dia merupakan Ahli Konsulat FIFA.

Reputasi dimiliki itu akan membolehkan beliau meneruskan agenda mempromosikan pembangunan bola sepak dalam negara, membina hubungan kukuh bersama pihak berkepentingan selain menyalurkan maklumat penting daripada pertubuhan antarabangsa itu.

Keputusan pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat dibuat selepas satu kongres diadakan. Facebook/FAM

Dalam masa sama, Afiq turut berpandangan pelantikan Hamidin tidak akan mencetuskan isu pertindihan kuasa, termasuk dari segi membuat keputusan kerana setiap kata putus dibuat selepas mendapatkan persetujuan bersama.

"Segala keputusan pastinya menerusi perbincangan terlebih dahulu. Kehadiran Tan Sri Hamidin dilihat mampu menambah idea dan bertukar-tukar pendapat dalam bola sepak Malaysia," katanya.

Perkara tersebut turut ditekankan Joehari yang menyatakan Presiden Kehormat itu hanya akan memberi nasihat berhubung hala tuju bola sepak negara dan Hamidin juga tidak mempunyai kuasa dalam memberi undian ketika mesyuarat diadakan.

Sekiranya tanggungjawab dipikul Hamidin adalah sama seperti mana dinyatakan, ia akan memberi kelebihan buat FAM yang sememangnya memerlukan nasihat daripada pihak berpengalaman.

Untuk rekod, satu-satunya individu pernah dilantik Presiden Kehormat FAM merupakan Almarhum Sultan Ahmad Shah selepas memegang jawatan Presiden FAM selama kira-kira 30 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram