[VIDEO] Healing Kuala Loco curi tumpuan, tapi ramai anggap lokasi dekat HUKM tak sesuai, cetus gangguan


  • Tular
  • Isnin, 30 Jun 2025

Tangkap layar Program Healing Kuala Loco yang berlangsung meriah di Stadium Kuala Lumpur pada Ahad.

PROGRAM Healing Kuala Loco yang berlangsung meriah di Stadium Kuala Lumpur pada Ahad lalu menjadi tumpuan apabila menghimpunkan beberapa persatuan permotoran aktif dari sekitar ibu kota.

Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan sepanjang program tersebut, termasuk pameran motosikal, sesi perkongsian ilmu keselamatan jalan raya, serta persembahan hiburan yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung pelbagai lapisan umur.

Difahamkan, tujuan utama acara itu adalah untuk menyatukan komuniti permotoran sambil menyampaikan mesej positif berkaitan keselamatan, kesedaran kesihatan mental dan kepentingan gaya hidup sihat.

BACA LAGI: Guru kerap cuti panjang, mesyuarat PIBG tak dapat sambutan antara 20 tanda sekolah 'red flag'

BACA LAGI: Bukan sekadar eksperimen media sosial, ‘Turmeric Light Trick’ boleh ancam kesihatan jika tak dikendalikan dengan betul

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan tersebut, timbul rungutan daripada segelintir pihak yang mempersoalkan pemilihan lokasi program berkenaan.

Hal ini kerana lokasi stadium yang terletak berhampiran dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) dekat Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

 

 

 

 

Rungutan itu timbul selepas seorang pengguna TikTok, azizi.hassan1 memuat naik satu video memaparkan susasan bingit di perkarangan stadium tersebut dan mendakwa bunyi bising dari program tersebut menjejaskan ketenteraman pesakit.

Beberapa pengguna media sosial turut meluahkan rasa kurang senang mereka, menggesa penganjur agar lebih peka dalam memilih lokasi bagi program seumpama ini pada masa akan datang, terutama apabila melibatkan komuniti sensitif seperti pesakit di hospital.

Seorang pengguna media sosial, AnZildjian mempersoalkan sikap peserta dan penganjur yang didakwa tidak peka terhadap keadaan sekitar.

"Penganjur memang salah tetapi dengan jumlah peserta yang ramai, takkan tiada seorang pun yang boleh fikir dan menegur rakan-rakan lain atau menegur pihak penganjur?" katanya.

Seorang lagi warga maya, buperamuktn turut bersetuju dengan pendapat AnZildjian dan menyifatkan aspek lokasi sepatutnya menjadi keutamaan pihak penganjur.

"Saya setuju, lokasi tidak sesuai sangat. Penganjur mungkin terlepas pandang tentang perkara ini atau mungkin ini sahaja pilihan yang ada. Apa pun, bagi saya lokasi itu memang tidak wajar," katanya.

Namun, tidak semua bersetuju dengan dakwaan gangguan tersebut.

Seorang pengguna media sosial, @aleng, tampil menyangkal tuduhan bahawa program itu telah mengganggu pesakit di hospital berhampiran.

"Pesakit dalam hospital itu tak dengar pun. Kalau ada perlawanan bola sepak pun sama sahaja dan bunyi mikrofon kuat juga, siap dengan sorakan,” katanya sambil menyifatkan isu tersebut dibangkitkan secara berlebihan.

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi dikeluarkan oleh pihak penganjur mengenai isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram