KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) memulakan aksi Liga Super dengan lebih baik pada musim ini dengan berada dalam tangga ketiga teratas carta.
Ia sekali gus menunjukkan pasukan tersebut semakin mula mendapat rentak dalam bersaing dengan kelab-kelab lain.
Bakal bertembung dengan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 1 April nanti, ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain sudah pasti akan memastikan jentera pemainnya berada dalam kecergasan yang memuaskan.
Tambahan pula, menjalani sesi latihan pada bulan Ramadan merupakan satu cabaran besar terhadap pemain bola sepak terutamanya yang beragama Islam.
Bercakap mengenai sesi latihan skuad Sang Kenari, heboh dalam kalangan penyokong KDA FC mengenai ketiadaan penjaga gol, Ifwat Akmal selepas melihat perkongsian gambar terbaharu di laman Facebook rasmi pasukan itu baru-baru ini.
Seorang penyokong Omar Omaq meluahkan rasa risau selepas tidak melihat ketiadaan kelibat Ifwat dalam sesi latihan tersebut.
"Mana Ifwat. Cedera ke? tulisnya.
Ketiadaan Ifwat dalam sesi latihan baru-baru ini meresahkan penyokong. — Facebook
Ketiadaan Ifwat itu sedikit sebanyak meresahkan penyokong kerana menjangkakan pemain berusia 27 tahun itu akan diturunkan dalam aksi menentang skuad Tok Gajah bagi menggantikan penjaga gawang Kalamullah Al-Hafiz yang mungkin tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama kerana masih bersama skuad kebangsaan.
Sebelum ini, ada dalam kalangan penyokong turut berharap agar Ifwat dikekalkan sebagai penjaga gawang utama kerana kurang berpuas hati dengan aksi yang ditonjolkan Kalamullah yang dirasakan kurang serasi bergandingan bersama benteng pertahanan skuad Sang Kenari.
Pada masa, penyokong, Ariff AF juga berpendapat barisan penyerang skuad Sang Kenari memerlukan latihan tambahan untuk menguatkan lagi jentera serangan.
"Beri extra training untuk striker (penyerang). Penyudah masih kurang berbisa. Pulun Kedah pulun," katanya.
Pendapat Ariff AF turut dipersetujui Syam Nadzri.
"Free kick dan corner kick perlu banyakkan training. Itu salah satu peluang," katanya.
Bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Jorge Pereyra Diaz. — Facebook
Bagi pengikut setia Hijau Kuning, masalah ketumpulan jentera serangan juga masih perlu diperbaiki sekiranya pasukan terbabit mahu mengumpul tiga mata penuh dalam kesemua perlawanan.
Ketika ini, penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira gagal untuk menepati ramalan ramai apabila hanya menjaringkan dua gol daripada lima penampilan sementera pemain simpanan, Jonathan Balotelli masih belum mendapat kepercayaan penuh barisan kejurulatihan.
Jadi, bagi menyelesaikan isu berkenaan, terdapat juga beberapa cadangan di ruangan media sosial yang berharapkan agar pihak pengurusan KDA FC perlu membawa khidmat bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Jorge Pereyra Diaz.
Dia yang ketika ini bersama kelab India, Mumbai City FC masih tidak tumpul sentuhannya di hadapan pintu gol dengan menjadi watak utama buat pasukan itu.
Dengan kontraknya yang bakal tamat pada 31 Mei ini, pastinya akan membuka peluang untuk pemain bersama kelab lain sekiranya kontrak Pereyra tidak disambung Mumbai City FC.
Seorang penyokong, Musang Berjanggut berasakan pihak pengurusan KDA FC untuk membawa masuk penyerang berusia 32 tahun berkenaan kerana prestasinya yang memberansangkan bagi jendela perpindahan kedua Julai nanti.
"Perpindahan kedua boleh bawa masuk Jorge Pereyra Diaz. Dia nampak 'kemaih' (bagus) depan gawang gol," tulisnya.
Selain penyokong Sang Kenari, sebuah lagi kelab Liga Super iaitu Sabah FC juga didesak penyokong mereka untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut.
Namun, dengan jendela perpindahan hanya akan dibuka pada Julai nanti, pasti kedua-dua gergasi bola sepak tempatan itu akan bersaing untuk mendapatkan pemain berasal daripada Argentina itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram