[VIDEO] Prospek regu wanita negara anggap Asics Masiswa persediaan ke Kejohanan Remaja Asia  


  • Podium
  • Sabtu, 28 Jun 2025

Antara aksi Clarissa dalam kejohanan Piala Asics Masiswa 2025. — Facebook/Strivnite

PEMAIN badminton kebangsaan, Clarissa San Yee Wen menyifatkan penyertaannya dalam Piala Asics Masiswa 2025 sebagai satu pengalaman yang berharga dan penting dalam persiapannya menghadapi Kejohanan Remaja Asia akan datang.

Clarissa yang juga prospek muda dalam acara regu wanita negara berkenaan berkongsi keterujaannya menyertai Piala Asics Masiswa 2025 yang berlangsung di Taylor's University di Subang Jaya, Selangor dari 26-28 Jun 2025.

Pemain berusia 19 tahun itu menjuarai kategori beregu wanita dan dinobatkan sebagai naib johan untuk acara beregu campuran dalam kejohanan yang disertai 350 pemain dari 26 universiti swasta berkenaan. 

BACA LAGI: [VIDEO] Badminton nombor 2, adik Tze Yong tak terfikir mahu ikut langkah abang

BACA LAGI: [VIDEO] Sedih dibuang BAM, pemain badminton negara 'move on' mahu fokus belajar

Clarissa menjuarai kategori beregu wanita dan dinobatkan sebagai naib johan untuk acara beregu campuran.

"Saya rasa ini adalah pengalaman yang baik. Ini adalah kali pertama saya bermain dalam Masiswa. Saya belajar banyak daripada kejohanan ini dan saya berjumpa dengan ramai kawan lama saya.

"Kejohanan ini membantu untuk Kejohanan Remaja Asia nanti kerana di sini kami dapat belajar banyak daripada pemain lain dan cara mereka bermain. Kami (pemain kebangsaan) juga ada kem latihan kebangsaan di Thailand beberapa minggu lepas.

"Dengan kejohanan ini sekurang-kurangnya ia membantu perlawanan nanti (Kejohanan Remaja Asia) yang mempunyai tahap permainan sangat tinggi dan pemain yang bermain memang hebat," katanya kepada Majoriti.

Untuk info, Clarissa bersama 16 pemain remaja kebangsaan akan mewakili Malaysia dalam kejohanan badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia yang akan berlangsung pada 7 hingga 16 Julai depan.

Dalam pada itu, sebagai atlet kebangsaan yang berlatih di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Clarissa mengakui pengalaman dan latihan intensif bersama skuad nasional memberi kelebihan, namun tidak menafikan kekuatan pemain universiti.

"Sudah tentu pengalaman di BAM membantu kerana saya dilatih lebih banyak daripada pelajar universiti biasa. Tapi saya rasa pelajar universiti juga mempunyai bakat yang sangat baik dan mereka agak susah untuk dihadapi. Pada awalnya, tak dinafikan saya yakin boleh menang dalam kejohanan ini.

"Tetapi kami juga tertekan kerana kami berada dalam pasukan nasional. Jadi, jika kami kalah, ia memang dianggap hal besar. Tapi kami hanya mencuba yang terbaik, menikmati permainan dan belajar sebanyak mungkin,” katanya.

Dengan semangat dan tekad tinggi yang ditunjukkan, bekas anak didik pemain kebangsaan iaitu Daphne Ng dan Sabrina Chong itu dilihat sebagai antara permata masa depan badminton wanita negara yang perlu diberi perhatian menjelang Kejohanan Remaja Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram