‘Sokongan keluarga sangat penting’, Goh Liu Ying kongsi pengalaman manis lepas bergelar ibu


  • Bonda
  • Ahad, 22 Jun 2025

Lui Ying berkongsi detik paling mencabar dan saat yang paling membahagiakan sepanjang bergelar ibu.

SEJAK bergelar ibu kepada dua cahaya mata, bekas atlet badminton negara, Goh Lui Ying, mengakui kehidupan sehariannya berubah sepenuhnya.

Namun, di sebalik cabaran membahagikan masa antara keluarga dan minat terhadap dunia sukan, beliau menekankan bahawa sokongan keluarga menjadi kunci utama kejayaannya menyesuaikan diri dengan fasa baharu ini.

"Sokongan daripada keluarga, terutama suami, sangat penting. Tanpa mereka, saya tak akan dapat luangkan masa untuk anjurkan acara atau terus terlibat dalam aktiviti komuniti sukan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Projek mahligai bermula cabaran agak besar, beza cita rasa antara Bonda Rozita, pereka ID, hasilnya wow!

BACA LAGI: Goh Lui Ying fokus cungkil permata baharu badminton, percaya Malaysia di landasan terbaik

Bercerita mengenai cabaran mengimbangi peranan sebagai ibu dan komitmen terhadap sukan, Lui Ying menegaskan bahawa pengurusan masa adalah aspek yang tidak boleh dipandang ringan.

Walaupun jadualnya kini lebih mencabar berbanding ketika bergelar atlet profesional, keutamaan tetap diberikan kepada keluarga.

"Mengatur masa itu sangat penting. Kita mesti ada masa khusus untuk teman anak dan pada masa sama laksanakan tanggungjawab kerja," jelasnya.

Menurut Lui Ying, rutin hariannya kini jauh berbeza berbanding ketika aktif sebagai atlet.

Jika dahulu jadual latihan boleh dirancang lebih awal, kini beliau perlu sentiasa bersedia untuk keperluan anak pada bila-bila masa.

"Hidup saya memang berbeza sekarang. Sebagai atlet, semua jadual tetap dan boleh pelan. Tapi sebagai ibu, kita mesti sentiasa bersedia untuk anak," ujarnya.

 

 

Menjaga kesihatan selepas melahirkan anak kedua juga menjadi satu cabaran.

Namun, beliau berkongsi bahawa pemikiran positif dan sokongan keluarga membantunya mengekalkan motivasi.

"Pemikiran positif sangat penting. Saya tahu ramai ibu lepas bersalin alami emosi tak menentu. Sokongan keluarga dulu yang paling utama, lepas itu baru kita boleh kuatkan mental," kongsinya.

Apabila ditanya tentang bentuk sokongan paling penting bagi ibu yang mahu mengekalkan kerjaya dan aktiviti dalam bidang sukan, Lui Ying menyebut bahawa disiplin diri adalah tunjang utama selain bantuan keluarga.

"Disiplin diri itu penting. Kalau tiada disiplin, memang susah nak seimbangkan semua tanggungjawab."

Rutin harian Lui Ying kini jauh berbeza berbanding ketika aktif sebagai atlet.

Lui Ying turut berkongsi detik paling mencabar dan saat yang paling membahagiakan sepanjang bergelar ibu.

Bagi beliau, cabaran terbesar adalah apabila segala perancangan tidak lagi seindah dahulu kerana perlu sentiasa bersedia untuk anak.

Namun, kebahagiaan terbesar adalah momen bersama anak yang tidak dapat diganti dengan apa sekalipun.

"Cabaran paling besar bila kita tak boleh pelan macam dulu. Tapi saat paling gembira bila anak panggil Mummy dan nak sentiasa dekat. Rasa penat semua berbaloi," katanya sambil tersenyum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram